PETALING JAYA: Selepas menunggu kira-kira tiga bulan, akhirnya nama Datuk Ong Kim Swee diumum sebagai ketua jurulatih bola sepak negara dengan matlamat mampu mengembalikan kegemilangan dan melonjakkan prestasi pasukan negara. Kim Swee yang ditugas menguruskan skuad Harimau Malaya sementara waktu selepas peletakan jawatan Dollah Salleh pada September lalu dianggap calon terbaik jurulatih tempatan setakat ini. Bukan menidakkan kebolehan dua lagi calon, Bojan Hodak dan Robert Alberts yang turut disenaraipendek untuk tugas ini, tetapi penekanan utama menerusi pengalaman Kim Swee membimbing skuad kebangsaan menjadi keutamaan. Sentuhan Kim Swee ketika membimbing skuad Harimau Muda sebelum ini sudah pasti memberi kelebihannya dalam pemilihan pemain untuk melengkapkan skuad kebangsaan yang sentiasa menjadi tumpuan utama peminat-peminat bola sepak tanah air. Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga dilihat berani mengambil risiko dan mengetepikan kritikan terhadap kebolehan jurulatih tempatan dengan memberi kepercayaan kepada Kim Swee, dan ianya bukan keputusan mudah buat badan induk bola sepak negara yang sebelum ini sentiasa dikecam berkaitan prestasi Harimau Malaya. Yakin dan percaya dengan kredibiliti Kim Swee, FAM turut meletakkan beberapa syarat atau Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam tempoh dua tahun kontraknya seperti kelayakan Piala Asia 2019, ranking dunia serta Piala AFF Suzuki. Bagi Kim Swee sendiri, pastinya beliau sudah bersedia menyahut cabaran FAM itu dan dalam masa perancangan yang terbaik berada dalam mindanya. "Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada FAM termasuk Pasukan Petugas Khas di bawah (Timbalan Presiden FAM) Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang memberi kepercayaan ini kepada saya. "Sudah tentu menjadi cabaran kepada saya, diharap dengan kerjasama semua pihak, kita mampu mencapai prestasi lebih baik,” jelasnya selepas diumumkan secara rasmi sebagai pengendali Harimau Malaya. Piala Asia 2019 “Program jangka pendek saya, pertama perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia pada Mac berdepan Arab Saudi. Selepas itu kita ada playoff Kelayakan Piala Asia 2019 pada awal Jun. “Kalau kita gagal playoff pertama, kita tidak layak ke pusingan seterusnya. Apa yang penting adalah program yang saya berikan kepada pihak pengurusan. “Saya harap kita dapat ikuti dan sudah tentu dengan jadual yang tersedia, saya percaya kita mampu layak ke pusingan seterusnya,” katanya yang akan memanggil pemain pada awal Mac ini. Piala AFF Suzuki 2016 “Seperti saya katakan tadi, kita memerlukan bantuan banyak pihak banyak terutama bukan daripada melihat pemain-pemain tempatan sahaja, tetapi memerhatikan pasukan-pasukan yang akan bertanding dalam Piala AFF Suzuki seperti Thailand, Singapura, dan Myanmar. “Saya tidak meletakkan sebarang syarat tetapi saya memberi pendapat apa yang boleh kita lakukan terutamanya kedudukan ranking dan Piala Suzuki ke peringkat akhir seterusnya menjadi juara. Ranking ke-140 dunia “Ranking ke-140 dunia bukan mustahil tetapi ranking harus mengambil masa. Jika tengok ranking negara, kita tak jatuh mendadak. Tetapi naik mengikut pasukan yang kita main dan apa keputusan. “Jadi untuk mendapatkan ranking ke-140 itu memerlukan masa. Saya percaya jika jadual program dilakukan dengan betul kita mampu ke tahap itu tetapi bukan sekelip mata,” jelasnya. Malaysia kini berada di ranking ke-171 dunia. Sementara itu, Kim Swee,46, berpuas hati dengan jadual Liga Malaysia yang diatur oleh Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengikut cadangannya. “Sebenarnya sejak Oktober lalu saya telah membentangkan kalendar perlawanan Fifa kepada FMLLP supaya kita akan ada masa untuk berlatih sebelum sebarang kejohanan berlangsung. “Peringkat pertama saya sudah selesai iaitu pembentangan program saya sebelum ini. Dan kini masuk ke peringkat kedua iaitu pemilihan pemain. “Pemain-pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia perlulah mendapat tempat setiap minggu tidak kira muda atau senior, kerana jika prestasi baik mereka akan diberi peluang. “Bagi saya setiap perlawanan adalah penting dan mecapai sesuatu yang bukan sahaja kejayaan tetapi pendedahan kepada pemain-pemain muda dan pada masa sama memperbaiki di peringkat antarabangsa,” tambahnya. Sebagai rekod, Kim Swee yang menguruskan skuad Bawah 23 Tahun memenangi pingat emas pada Sukan Sea 2011 dan menang sekali, serta tewas tiga kali dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 ketika menjadi jurulatih sementara Harimau Malaya.