suria

Aksi Pertama Kahe Di Stadium Darulaman Malam Ini

Carlos Kahe akan beraksi pada perlawanan sulungnya di Stadium Darulaman, Isnin malam.

RIBUAN peminat setia pasukan Kedah berpeluang menyaksikan aksi penyerang baru dari Brazil, Carlos Kahe, dalam perlawanan persahabatan menentang skuad Sungai Ara FC di Stadium Darulaman, pada Isnin malam.

Perlawanan tersebut juga merupakan aksi pertama Kahe di Stadium Darulaman selepas tiga perlawanan persahabatan di selatan Thailand minggu lalu.

Kahe yang menggantikan Chidi Edeh kerana tidak disambung kontrak oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) gagal menghasilkan jaringan pada tiga aksinya sebelum ini tetapi mampu membantu rakan sepasukan lain bagi mendapatkan gol.
 
Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, Kahe memerlukan masa bagi menyesuaikan dirinya dengan cuaca serta dapat memahami rentak permainan rakan sepasukan lain.
 
“Saya yakin Kahe mampu meningkatkan prestasinya daripada perlawanan ke perlawanan. Walaupun gagal menjaringkan gol, namun  kemampuannya untuk menguasai bola dan melakukan hantaran tepat kepada rakan sepasukan tidak boleh dinafikan.
 
“Selepas mendapat jaringan pertaman, dia mungkin akan lebih yakin bagi meneruskan usahanya mencapai matlamat sebagai penyerang utama kita. Tidak kira siapa sahaja  penyerang yang baru beraksi pada Liga Malaysia mereka perlu membuktikan kewibawaan yang dimiliki.

“Bukan sahaja Kahe malah kesemua pemain Kedah sudah mendapat motivasi setelah melalui lima perlawanan pra musim.

"Ketika kita memulakan perlawanan sulung bertemu Felda United FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang,  sudah pasti mereka mampu menanginya,” katanya kepada mStar Online.
 
Tambah Cheng Hoe, pada musim lalu Chidi Edeh juga menghadapi masalah untuk menepati sasaran pada awal musim tetapi dia menemui rentak dan dapat membantu Kedah menjuarai Liga Premier.

“Sebagai seorang pemain profesional dia memahami apa yang diharapkan oleh pihak pengurusan dan ribuan peminat setia pasuka. Saya yakin dia mampu melaksanakan tugasnya itu dengan baik bagi memuaskan hati dan memenuhi matlamat bersama kita," jelasnya.

Katanya, walaupun Sungai Ara FC beraksi dalam Liga FAM, namun pemain Kedah perlu memberi sepenuh perhatian dan mengekalkan disiplin kerana Liga Super akan bermula tidak lama lagi.

Artikel Berikut

Artikel Lain