suria

FAM Mahu FIFA Calon Gol Faiz Untuk Anugerah Puskas

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mencadangkan gol jaringan pemain Pulau Pinang Mohd Faiz Subri dicalonkan untuk Anugerah Puskas 2016.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan media berkata FAM mencadangkan kepada FIFA agar gol dijaringkan pemain berusia 29 tahun itu tersenarai untuk mendapat anugerah berkenaan.

Gol yang melencong cantik sebelum menerjah gol lawan itu terhasil menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 32 meter pada perlawanan Liga Super ketika Pulau Pinang bertemu Pahang di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lepas.

Ia segera menjadi viral di media sosial dengan ramai pihak menyiftkan iaseakan-akan gol jaringan pemain bek kiri Brazil, Roberto Carlos ketika menentang Perancis pada 1997.

"FAM turut melampirkan salinan video gol tersebut untuk dinilai oleh FIFA. Senarai 10 calon gol tercantik untuk Anugerah Puskas 2016 itu akan dicadangkandan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya.

"Bagaimanapun FAM berpendapat surat cadangan tersebut tetap perlu dihantar kepada FIFA sebagai tanda sokongan FAM dan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian FIFA," katanya.

Hamidin berkata berdasarkan keunikan gol berkenaan, FAM turut yakin ia akanberjaya tersenarai sebagai antara 10 calon gol tercantik dunia dan layak bagi pencalonan Anugerah Puskas.

Katanya jika nama Mohd Faiz tersenarai, ia sekali gus bakal mencatat satu sejarah baharu buat bola sepak Malaysia.

Anugerah Puskas yang diperkenalkan FIFA pada 2009 ialah anugerah untuk gol terbaik sepanjang tahun.-Bernama

Puskas, FAM, Faiz Subri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain