MARIA Sharapova mendedahkan dia gagal dalam ujian doping ketika kejohanan Terbuka Australia Januari lalu sekaligus bimbang mengenai masa depannya dalam sukan ini. Bintang tenis Rusia ini berkata, dia mengambil Meldonium, yang diberi oleh doktor peribadi keluarganya sejak lebih 10 tahun lalu sebelum disenaraikan haram oleh Agensi Anti-Dadah Dunia (WADA). Sharapova kini digantung sementara oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) bermula 12 Mac ini sementara menunggu tempoh penggantungan sebenar dan kes masih dalam siasatan. Bagaimanapun, media media menjangkakan tempoh penggantungan ini mungkin sekurang-kurang setahun. "Saya tidak mahu menamatkan karier dalam keadaan begini dan berharap dapat diberi peluang untuk terus beraksi," jelas juara lima kali Grand Slam itu pada sidang media yang diadakan di Los Angeles. "Apa yang saya masukkan dalam badan, adalah tanggungjawab sendiri. Ini adalah perkara baharu dalam hidup saya. "Saya telah melakukan kesilapan besar. Saya telah mengecewakan peminat-peminat saya, malah memberi rekod buruk dalam sukan yang telah saya sertai sejak berumur empat tahun, yang sangat saya minati". "Saya menerima surat daripada WADA pada 22 Disember bagi senarai baharu tahun 2016, dan saya tidak melihat senarai tersebut," jelasnya. Sharapova menjelaskan, sepanjang 10 tahun, pil tersebut tidak ada dalam senarai WADA. "Tetapi bermula 1 Januari lalu, perubahan berlaku dan melbonium menjadi bahan larangan tanpa saya sedari". Sharapova merupakan salah seorang daripada sepuluh pemain wanita yang melengkapkan karier Grand Slam apabila menjuarai Terbuka Australia, Terbuka Perancis, Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat. Bekas pemain No.1 dunia itu kini berada di ranking ke-7 dunia. Dia merupakan atlet wanita terkaya di dunia dengan meraih 21 juta pound (RM122 juta) tahun lalu berdasarkan penilaian Forbes, termasuk bidang perniagaan yang diceburinya. Sharapova hanya beraksi tiga kejohanan dalam tempoh lapan bulan lalu berikutan kecederaan di bahagian bawah lengan dan bahu. Kali terakhir Sharapova beraksi ketika tewas saingan suku akhir kepada Serena Williams pada Terbuka Australia Januari lalu, iaitu 26 Januari hari yang dia menerima keputusan sample positif. Sebagai rekod, pemain Serbia Viktor Troicki pernah digantung selama 18 bulan pada Julai 2013 kerana gagal dalam ujian doping ketika beraksi di Monte Carlo. Meldodium merupakan salah satu bahan terlarang baharu yang disenaraikan oleh WADA pada 1 Januari 2016. Menurut WADA, pil tersebut digunakan sesetengah atlet bagi meningkatkan prestasi. Ujian ke atas meldonium tahun lalu mengenai kesan bahan ini ke atas atlet. Meldonium juga digunakan untuk merawat sakit dada dan serangan jantung, namun penyelidik mendapati ia lebih kepada peningkatan prestasi. Ia diharamkan di Amerika Syarikat namun dibenarkan di Rusia, Latvia dan beberapa lagi negara lain. Beberapa bulan lalu, atlet berbasikal Rusia, Eduard Vorganov, Ekaterina Bobrova (skater) dan atlet kelahiran Ethiopia Endeshaw Negesse dan Abeba Aregawi turut gagal ujian meldonium.