MANCHESTER City sekadar terikat 2-2 dengan Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Parc des Princes, Paris, awal pagi Khamis. Zlatan Ibrahimovic nyaris meletakkan PSG di depan seawal minit ke-14 namun sepakan penaltinya berjaya diselamatkan penjaga gol City, Joe Hart. Hart boleh disifatkan sebagai penyelamat City apabila berjaya menangkap kemas tiga sepakan penalti pada aksi Liga Juara-Juara setakat ini. Walaupun beraksi di gelanggang lawan, City berjaya membuka jaringan awal menerusi percubaan Kevin De Bruyne pada minit ke-38. Enggan menyerah kalah, Ibrahimovic meletakkan kedudukan 1-1 pada minit ke-41 sebelum Adrien Rabiot menggandakan jaringan pada minit ke-59. City berada dalam keadaan tertekan untuk menyamakan kedudukan sebelum Fernandinho menerjah gawang tuan rumah pada minit ke-72. Kedua-dua pasukan itu kini mempunyai peluang sama rata untuk merebut slot ke separuh akhir ketika aksi kedua di Stadium Etihad, awal pagi Rabu depan. Pengurus City, Manuel Pellegrini mengakui anak buahnya melakukan kesilapan besar apabila melepaskan gol pertama dengan mudah kepada pasukan tuan rumah. "Kami melakukan beberapa kesalahan untuk gol pertama dan gol kedua adalah ofsaid. "Saingan amat sengit sehingga ke hujung perlawanan. Namun slot ke separuh akhir masih terbuka tetapi ia keputusan yang bagus untuk kami. "Jika mahu menang, pemain tidak boleh melakukan kesilapan yang sama. Namun kami cuba untuk memenangi perlawanan itu dari minit pertama, itulah sebenarnya corak permainan kami," katanya.