WOLFSBURG menghidupkan peluang untuk melangkah ke pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid 2-0 pada aksi suku akhir pertama di Volkswagen Arena, awal pagi Khamis. Walaupun bertandang ke gelanggang lawan dengan penuh keyakinan selepas menewaskan seteru utama, Barcelona hujung minggu lalu, Real Madrid ternyata gagal menyekat ancaman pasukan tuan rumah. Wolfsburg menguasai perlawanan menerusi jaringan Ricardo Rodriguez seawal minit ke-18 sebelum Maximilian Arnold menggandakan gol tujuh minit kemudian. Madrid bangkit memperbaiki rentak permainan pada babak kedua tetapi Wolfsburg tidak putus-putus memberikan ancaman kepada anak buah Zinedine Zidane itu. Kelab gergasi Sepanyol itu cuba memecah kebuntuan tetapi gagal dan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan. Zidane bagaimanapun mengakui anak buahnya gagal mempamerkan kualiti permainan sebenar ketika tewas kepada Wolfsburg. Real Madrid ketinggalan 2-0 pada aksi suku akhir pertama tetapi Zidane masih belum menyerah kalah. Beliau menyifatkan pasukan itu masih berpeluang untuk bangkit ketika melayan kunjungan Wolfsburg di Santiago Bernabeu minggu depan. "Jika kita tidak mempunyai semangat, kekalahan pasti berlaku. Namun saya tetap bangga dengan pasukan ini. "Kami masih ada peluang kedua minggu depan. Wolfsburg tidaklah beraksi dengan begitu baik tetapi perkara ini kadang-kadang berlaku dalam bola sepak. "Pemain kelihatan tidak bersemangat. Sekarang kita harus memikirkan mengenai perlawanan akan datang. Perlawanan pasti sukar tetapi kita perlu yakin," katanya selepas tamat perlawanan.