SEVILLA terus menghidupkan peluang untuk menjulang trofi kejuaraan Liga Europa buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Athletic Bilbao 5-4 menerusi penentuan penalti pada aksi suku akhir di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, awal pagi Jumaat. Pasukan tuan rumah hampir tersingkir di gelanggang sendiri selepas tewas 1-2 tetapi hasil kemenangan di tempat lawan minggu lalu meletakkan kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 3-3. Susulan itu, pasukan juara terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti. Kedua-dua pasukan terus mencipta sebarang gol pada babak pertama. Namun, Bilbao terlebih dulu memecah kebuntuan menerusi jaringan Aritz Aduriz pada minit ke-57. Dua minit kemudian, pemain Sevilla, Kevin Gameiro menyamakan kedudukan. Ketika permainan berbaki 10 minit, Raul Garcia menceriakan penyokong pelawat apabila menjaringkan gol pada minit ke-80 yang mengheret permainan ke penentuan penalti. Dalam satu lagi perlawanan berasingan, Villarreal menewaskan Sparta Prague 4-2. Kemenangan di tempat lawan itu melengkapkan kemaraan sebuah lagi kelab Sepanyol dengan agregat kemenangan 6-3. Sementara itu, juara 2009, Shakhtar pula mara bergaya ke separuh akhir selepas menundukkan Braga 4-0. Gol Shakhtar dijaringkan Darijo Srna pada minit ke-25, Viktor Kovalenko (50) dan dua gol sendiri pemain Braga, Ricardo Ferreira pada kedua-dua babak permainan memberi kelebihan kepada kelab dari Ukraine itu. Shakhtar mara dengan agregat kemenangan 6-1.