suria

Skuasy Dunia: Nicol Yakin Mampu Singkir Sherbini Aksi Suku Akhir

Nicol David (kanan) ketika beraksi menentang pemain England Alison Waters (kiri) pada kejohanan skuash wanita dunia PSA di Pusat Skuasy Negara pada Rabu. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David melahirkan keyakinan untuk menundukkan pemain nombor dua dunia, Nour El Sherbini apabila menentang pemain Mesir itu pada suku akhir Kejohanan Skuasy wanita DuniaPSA NAZA 2016.

Walaupun tewas dalam semua tiga perlawanan sebelumnya musim ini, pemain nombor lima dunia itu berkata apa yang penting ialah memberi tekanan awal kepada pemain berusia 20 tahun itu dalam set pertama untuk membolehkannya lebih yakin.

"Saya fikir terpulang kepada saya mengenai apa yang saya akan lalui dan bagaimana saya beraksi...Jika saya mengenakan tekanan dari awal, saya perlu terus melakukannya tetapi saya fikir ia dijangka perlawanan yang menarik, esok (Khamis),"kata juara dunia lapan kali itu kepada pemberita.

Terdahulu, Nicol selaku juara bertahan, mengenepikan cabaran sengit daripada pemain pilihan ke-11 dunia, Alison Waters dari England untuk meraih kemenangan 11-9, 11-3 dan 11-5 dalam  masa 39 minit dalam aksi pusingan kedua kejohanan di Arena Nicol David, Pusat Skuasy Negara di Bukit Jalil, Rabu.

Sherbini, naib johan Kejohanan Dunia 2013, terpaksa bertarung dalam set yang berlarutan sebelum menumpaskan pilihan ke-11, Annie Au dari Hong Kong dengan 1-5, 11-6, 6-11 dan 11-3.

Mengenai kemenangan ini, Nicol berkata perlawanan itu lebih mudah berbanding aksi semalam menentang pemain Australia Rachael Grinham walaupun beliau juga bergelut dengan Alison pada set pertama.

"Saya fikir setiap pemain mahu bermula cemerlang (dalam set pertama) dan mencapai kemenangan pertama yang memberi keyakinan tambahan.

"Beraksi menentang Alison, anda perlu memberi tunmpuan dan tidak memberinya sebarang keyakinan untuk bermain mengikut rentaknya, jadi saya terpaksa beraksi mengikut rentak dan masa yang bersesuaian, saya amat gembira atas kemenangan ini," kata pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 32 tahun itu.

Sementara itu, Sherbini mengaku bahawa aksi menentang Nicol pasti tidak sama seperti sebelumnya walaupun beliau memenangi kesemua tiga pertemuan sebelumnya musim ini iaitu Tournament of Champions pada Januari dan Terbuka Windy City (Feb) di Amerika Syarikat dan juga Terbuka Britain, sebulan kemudian.

"Nicol akan beraksi di gelanggang sendiri dan negeri kelahirannya tetapi saya akan cuba untuk menampilkan aksi terbaik walaupun menyedari ia perlawanan yang sukar...Ini adalah kejohanan berprestij dan sudah tentu semua pemain akan memberi yang terbaik," kagtanya.

"Saya beraa dalam kecergasan yang baik tetapi saya pasti Nicol juga sudah bersedia untuk perlawanan itu, jadi saya pasti ia bukan mudah," kata pemain dari Iskandariah berusia 20 tahun itu. -Bernama

JADUAL PERLAWANAN SUKU AKHIR: -

[1] Laura Massaro (ENG) lwn [6] Omneya Abdel Kawy (EGY)

[7] Amanda Sobhy (USA) lwn [3] Raneem El Welily (EGY)

[5] Nour El Sherbini (EGY) lwn [2] NICOL DAVID (MAS)

[8] Nouran Gohar (EGY) lwn [4] Camille Serme 

Nicol David, Skuasy Wanita Dunia

Artikel Lain