suria

Pasukan Sepanyol Masih Dihantui Kegagalan Piala Dunia 2014

JURULATIH Sepanyol, Vicente del Bosque mengakui skuadnya masih dihantui kegagalan aksi Piala Dunia 2014 sepanjang persiapan menghadapi Kejuaraan Eropah (Euro 2016) di Perancis bulan depan.

Biarpun mereka berada dalam kedudukan teratas pada pusingan kelayakan kumpulan baru-baru ini, Sepanyol masih gagal mempamerkan aksi menyakinkan apabila hanya menang dua daripada tujuh perlawanan persahabatan antarabangsa selepas Piala Dunia berakhir.

"Aksi di Brazil adalah punca segalanya dan ia amat mengecewakan. 

"Tetapi jika kamu menilai pada kempen kelayakan Euro sebelum ini, kami hanya kalah sekali dan meraih sembilan kemenangan, " jelas Del Bosque.

Rekod cemerlang Sepanyol tercalar di Brazil selepas dibelasah Belanda 5-1 dan tewas kepada Chile 2-0 sebelum terkeluar daripada saingan.

Bagaimanapun, Del Bosque tetap positif dan menganggap ianya adalah fasa perubahan dalam pembentukan skuad baharu.

Menjelang aksi pertama Euro bertemu Republik Czech pada 13 Jun ini, skuad Sepanyol hanya dibarisi beberapa pemain lama termasuk Sergio Ramos, Iker Cassillas dan Andres Iniesta.




Manakala jentera berbahaya mereka sebelum ini, Xabi Alonso, Xavi Hernandez dan David Villa telah bersara dalam aksi antarabangsa termasuk Fernando Torres yang masih samar.

Del Bosque dijangka mempunyai pilihan sendiri seperti Paco Alcacer, Alvaro Morata, Aritz Aduriz dan , Diego Costa.

Jurulatih berusia 65 tahun itu, tetap yakin dengan aksi Costa biarpun penyerang Chelsea itu sentiasa dikritik dengan prestasi turun naik bersama kelab dan hanya menjaringkan satu gol dalam sepuluh perlawanan.

"Diego hanya boleh dinilai berdasarkan prestasi permainan dan dia tidak terlibat dengan apa-apa jenayah. Malah dia sentiasa melakukan perkara yang betul ketika bersama kami.

"Banyak persoalan yang perlu dijawab bagi setiap posisi, tetapi kami perlu bersikap fleksibel," jelasnya mengenai Costa yang pernah didenda Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) kerana salah laku ke atas pemain Everton Gareth Barry Mac lalu.

Del Bosque mengakui harapan disandarkan kepada Casillas dan Ramos dalam membentuk pemain-pemain muda lain untuk menjadikan pasukan lebih seimbang.

"Saya sangat mempercayai pemain veteran yang telah lama bersama kami dan juga yakin muka-muka baharu akan memberi sesuatu yang lebih segar.

"Objektif kami adalah untuk melangkaui kejayaan dua trofi kejuaraan Euro sebelum ini agar kami boleh menilai langkah seterusnya," jelasnya.

Sepanyol merupakan juara bertahan kejuaraan yang diadakan setiap empat tahun sekali ini apabila menjulang trofi dua kali berturut-turut pada tahun 2008 dan 2012.

Artikel Sebelum

Keputusan La Liga

Artikel Lain