suria

Chong Wei Janji Skuad Piala Thomas Pamer Aksi Terbaik

Misbun Sidek (kiri) bergambar bersama anak lelakinya Misbun Shawal (tiga kiri) dan pasangannya Nur Hidayah Muhamad pada majlis perkahwinan mereka di Dewan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Kuala Lumpur, Ahad. Turut kelihatan, isteri Misbun, Datin Latifah Sidek (kanan), Chong Wei dan isterinya Datin Wong Mew Choo (dua kanan). Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berjanji skuad Malaysia akan mempamerkan aksi terbaik pada saingan Piala Thomas 2016 di Kunshan, China pada 15-22 Mei ini.

Juara Kejohanan Badminton Asia 2016 itu mengakui saingan kali ini lebih seimbang tetapi enggan meletakkan sebarang sasaran kepada peminat.

"Kita janjikan skuad yang akan melakukan yang terbaik. Oleh kerana kita adalah naib juara edisi lalu, mungkin peminat mahu kita satu langkah lebih baik kali ini.

"Saya tak boleh janjikan yang kita boleh masuk final atau menang piala kerana lepas janji kita boleh kalah juga. Tapi, kita akan buat yang terbaik," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Chong Wei ditemui pada majlis perkahwinan anak bekas jurulatihnya Datuk Misbun Sidek, iaitu Misbun Syawal dan Nur Hidayah Muhamad.

Beliau yang mengakui latihan skuad negara kali ini yang diadakan secara tertutup dapat meningkatkan fokus pemain, berkata Malaysia bakal menerima cabaran sengit daripada pasukan China, Denmark dan Korea Selatan. 

"Denmark ada tiga pemain perseorangan yang baik, iaitu Viktor Axelsen, JanO. Jorgensen dan Hans-Kristian Vittinghus.

China pula membariskan pemain seperti Chen Long, Lin Dan dan Tian Houwei yang kita kena berhati-hati.

"Selain itu, kedua-dua pasangan beregu utama kita iaitu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula kelihatan letih selepas bermain banyak kejohanan untuk menggutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik. 

"Namun saya berharap mereka akan cepat pulihkan kecergasan dan kembali bersemangat apabila sampai di Kunshan," katanya.

Skuad Piala Thomas negara terdiri daripada Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainu­ddin, Chong Wei Feng dan Goh Soon Huat selain pasangan beregu V Shem/Wee Kiong, Kien Keat-Boon Heong serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Sementara itu, Misbun mengakui Malaysia sentiasa menjadi antara empat pasukan terbaik dunia, namun perlu memikirkan cara berkesan sekiranya berhasrat merampas kembali piala yang kali terakhir dimiliki pada 1992.

"Peluang itu memang ada, tetapi bergantung kepada bagaimana kita mengambil peluang untuk menang.

Dari segi kekuatan, jika prestasi Chong Wei dapat dikekalkan, susah untuk orang nak gugatkan dia dan kita hanya perlukan dua mata lagi.

"Jadi sebenarnya tak jauh dari kejayaan, tetapi jika kita hanya bergantung kepada Chong Wei sahaja adalah susah, sebaliknya perlu memperkuatkan pasukan secara keseluruhan.

China pula dari dulu lagi akan bermain muslihat, mereka akan menukar atau menggantikan susunan pemainnya.

"Ini kerana mereka mempunyai kelompok pemain yang besar, maka boleh pilih sesiapa sahaja. Bayangkan, Chong Wei hanya seorang dan dia diperhatikan di semua empat penjuru oleh musuh...Chong Wei boleh tergolek juga," katanya.

Mengenai pemain perseorangan kedua negara, Iskandar Zulkarnain, Misbun berkata pemain berusia 24 tahun itu perlu memperkuatkan senjata serangan dan strategi taktikal untuk mematikan permainan lawan.

"Prestasi dan perkembangan dia baik buat masa sekarang, tetapi masih tidak stabil kerana beberapa corak permainan dan pukulan penamatnya perlu diperkemaskan lagi," katanya.  

Sebagai rekod, Malaysia merupakan naib juara Piala Thomas 2014 selepas tewas kepada Jepun dalam aksi akhir dan pernah menjuarai piala tersebut sebanyak lima kali, iaitu pada 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992. -Bernama

Artikel Lain