SHAH ALAM: Perenang negara, Welson Sim melepasi had masa kelayakan ke Sukan Olimpik bagi kategori B dalam acara 1,500 meter gaya bebas lelaki di Kejohanan Terbuka Malaysia ke-59, Ahad. Percubaan Welson untuk menambah slot ke Rio de Janeiro, Brazil secara merit tidak kesampaian apabila sekadar melakukan catatan masa 15 minit 35.63 saat di Pusat Akuatik Darul Ehsan di sini. Beliau perlu melepasi had masa kelayakan iaitu 15:14.77s. Welson berkata dia juga masih bekerja keras untuk memecah rekod kebangsaan bagi acara 1500m gaya bebas itu yang masih dimiliki oleh bekas perenang negara Jeffrey Ong pada 1991 dengan catatan masa 15:23.61s. "Memang susah untuk melepasi had masa ke Olimpik, tetapi saya berpuas hati dengan catatan masa saya hari ini kerana ia adalah catatan terbaik saya. Saya perlu mengatasi rekod kebangsaan bagi acara 1500m itu dulu sebelum memikirkan untuk melepasi had kelayakan bagi kategori A di Sukan Olimpik," katanya kepada pemberita. Welson hari ini menambah koleksi ketiga pingat emas bagi acara berkenaan selepas mengalahkan perenang India, Sajan Prakash dengan catatan 15:47.68s di tempat kedua. Perenang Indonesia, Aflah Fadlan Prawira melengkapkan podium di tempat ketiga dengan 16:00.79s. "Saya gembira dengan kemenangan pingat emas ketiga ini, kejayaan ini adalah untuk ibu saya (Lee Ngiat Kim) sempena sambutan Hari Ibu hari ini," katanya. Dalam Kejohanan Terbuka Malaysia, Welson turut meraih pingat emas dalam acara 400m gaya bebas dan 200m gaya bebas serta satu pingat perak dalam acara 100m gaya bebas. Welson kini telah meraih dua slot A ke Sukan Olimpik bagi acara 400m gaya bebas dan 200m gaya bebas. Slot B pula dalam acara 1500m gaya bebas dan 100m gaya bebas. "Saya akan berlatih di Australia selama dua minggu selepas ini, di sana saya berlatih dengan pasukan Australia dan juga perenang nombor satu dunia iaitu Mack Horton," katanya. Welson masih mempunyai peluang untuk memburu slot Olimpik dalam acara 100m gaya bebas dan 1500m gaya bebas dalam tiga kejohanan di Eropah selepas ini.-Bernama