suria

Vida Kenal Pasti Empat Pemain Import Perkuat Kelantan

Vida semasa menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara antara Barcelona dan Arsenal di Stadium Camp Nou, Mac lalu.

PETALING JAYA: Empat pemain import baharu kini berada dalam radar pasukan Kelantan untuk meneruskan saingan Liga Malaysia di bawah kendalian jurulatih baharunya iaitu Velizar Emilov Popov.

Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr Vida berkata beliau berhasrat membawa masuk keempat-empat awang import itu pada jendela perpindahan yang akan dibuka bulan depan.

"Saya sudah kenal pasti empat pemain melalui beberapa individu yang arif dalam pemilihan pemain import bagi memperkuat skuad Kijang untuk saingan Liga Malaysia musim ini.

"Keempat-empat pemain ini diintai tanpa melalui ejen dan saya percaya kosnya lebih murah berbanding proses untuk mendapatkan pemain import sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Vida berkata keempat-empat pemain itu dipercayai berasal dari Portugal dan Australia.

"Salah seorang daripadanya pernah beraksi bersama akademi remaja FC Porto dan pernah tersenarai dalam skuad Australia Bawah-23 tahun," katanya.

Beliau berkata senarai pemain import itu turut dicadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tetapi segalanya bergantung kepada persetujuan ketua jurulatihnya.

"Ini antara pemain import pilihan saya, tapi saya terpaksa akur jika ketua jurulatih ada pilihannya sendiri. Kita tunggu pengumuman mengenai perkara ini dalam masa terdekat," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Popov, Vida berkata beliau yakin bekas jurulatih kebangsaan Maldives itu akan membantu Kelantan menduduki kelompok empat pasukan terbaik Liga Super musim ini selain menggembalikan era kegemilangan pasukan pada 2012.

"Saya harap Popov dapat menaikkan semula nama Kelantan yang berdepan prestasi tidak menentu sebelum ini. Berbekalkan pengalaman yang dimilikinya saya menganggap dia sebagai pilihan tepat untuk menggantikan K Devan," katanya.

Jelas Vida, meskipun seri tanpa jaringan ketika bertemu Selangor malam semalam (Rabu) masih terlalu awal untuk menilai prestasi Popov kerana percaya dia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan.

"Beri dia masa, kita tengok beberapa perlawanan yang akan datang. Apa yang penting penyokong teruskan beri sokongan tanpa kira jatuh bangun pasukan sebagaimana dilakukan pasukan Eropah," katanya.


pemain import, Kelantan, Dr Vida

Artikel Lain