suria

Melaka Rampas Kembali Persada Liga Perdana

MELAKA: Melaka United berjaya merampas kembali takhta Liga Perdana selepas membenam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-1 dalam perlawanan tunggal di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini pada Sabtu malam.

Melaka, yang sebelum ini di tangga keempat, melonjak ke tangga teratas liga apabila berjaya mengutip 27 mata, mengatasi Negeri Sembilan di tempat kedua yang mengutip 25 mata daripada 12 perlawanan.

Ilija Spasojevic membuktikan bertapa beliau penggempur yang perlu digeruni lawan apabila meledak hattrik manakala dua pemain sayap Jasmir Menhat dan R.

Surendran kerap mengucar-kacir pertahanan lawan dengan larian deras.

Anak buah Mohd Zan Mat Aris membuka tirai jaringan seawal minit ke-sembilan hasil ledakan deras Spasojevic di dalam kotak penalti selepas menerima hantaran daripada Surendran.

Spasojevic, yang juga ketua pasukan, menjaringkan gol kedua Skuad Sang Kancil itu selepas tenang menyudahkan hantaran lintang rendah daripada Jasmir pada minit ke-18.

Gandingan Spasojevic dan Jasmir sekali lagi berjaya menembusi penjaga gol ATM, Mohamad Hafizuddin Azuhar untuk gol ketiga apabila Spasojevic merembat masuk gol hasil hantaran Jasmir pada minit ke-23.

Pada separuh masa kedua, Melaka memperlahankan rentak, bagaimanapun ATM terus mengasak hasilnya pada minit ke-58 Venice Elphi Danny Kaya menjaringkan gol sagu hati ATM setelah menyudahkan hantaran lintang Mohammad Azim Faris Shari.

ATM dibimbing Mohd Azuan Mohd Zain terus melakukan asakan bertali arus tetapi gagal menghasilkan sebarang gol sehingga pengadil Khairulazuan Kidam meniupkan wisel penamat.

ATM kini tercorot di tangga liga dengan hanya satu mata.

Liga Perdana

Artikel Berikut

Artikel Lain