SUASANA di Stadium Wembley tergamam seketika apabila penyanyi Karen Harding yang diberi penghormatan menyanyikan lagu kebangsaan pada aksi akhir Piala FA Inggeris hanya tersenyum ketika muzik mula dibunyikan. Harding yang terkenal dengan lagu dari album sulungnya, Say Something dilihat memegang ‘ear piece’ yang mungkin mengalami masalah sehingga dia tidak mendengar isyarat mula menyanyi. Namun, pemain-pemain Manchester United dan Crystal Palace cepat bertindak menenangkan keadaan dengan menyanyikan lagu kebangsaan mereka, dan diikuti dengan 90,000 orang penyokong yang hadir menyaksikan aksi final itu. Pun begitu, suara Harding tetap kedengaran di stadium biarpun hakikatnya ia sudah terlambat.