MANCHESTER United berharap dapat membuat pengumuman mengenai pelantikan Jose Mourinho sebagai pengurus baharu kelab itu pada Rabu, selepas terma kontrak diteliti antara kedua-dua pihak. Sebelum itu Ketua Eksekutif United, Ed Woodward dilapor akan bertemu ejen Mourinho, Jorge Mendes di London pada Selasa untuk membuat perbincangan terakhir sebelum kontrak ditandatangani. Jorge Mendes Pada pagi Selasa, Mourinho yang juga bekas pengurus Chelsea dilihat meninggalkan rumahnya di London - dipercayai untuk menyelesaikan urusan kontrak selama tiga tahun untuk menggantikan Louis van Gaal. Proses penelitian kontrak juga mungkin tidak akan mengambil masa yang lama kerana kedua-dua pihak telah melakukan perbincangan sejak berbulan lalu. Dailymail melaporkan, kontrak tersebut akan disemak oleh peguam daripada kedua-dua belah pihak dahulu sebelum pengumuman dibuat pada Rabu. Dalam pertemuan itu juga, Woodward dipercayai akan mengambil kesempatan untuk berbincang dengan Mendes mengenai pemain yang akan di bawa ke Old Trafford. Sebelum pengumuman dibuat, Mourinho akan berangkat ke Manchester kerana pengenalan pengurus baharu akan dilakukan di Kompleks Latihan AON. Selepas itu, jurulatih kelahiran Portugal berkenaan perlu melakukan perancangan rapi untuk memulakan latihan pramusim termasuk usaha mendapatkan pemain baharu.