KOTA BAHARU: Pemain pasukan bola sepak Kelantan yang melanggar disiplin akan dihadapkan ke Lembaga Tatatertib Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk tindakan lanjut. Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor berkata lembaga tatatertib itu mempunyai hak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pemain yang melanggar disiplin. "Kami faham perasaan pemain, mereka bermain bersungguh-sungguh bagi mencapai kemenangan, namun sebagai pemain profesional terdapat tiga perkara perlu dipatuhi iaitu pemain telah tandatangani akujanji, mereka menandatangani kontrak selaku pemain profesional, dan mematuhi kod etika persatuan," katanya kepada pemberita, Selasa. Ismail berkata Kafa dan pemain mempunyai tanggungjawab kepada pasukan bagi meraih kejayaan pada setiap musim, justeru kerjasama dan profesionalisme semua pihak amat diperlukan. "Kafa perlu profesional dalam pengurusan dan pemain seharusnya bijaksana apabila setiap kali beraksi di padang tanpa melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan sehingga merugikan pasukan dan persatuan," katanya. "Semua perkara dilakukan seharusnya ke arah membentuk pasukan yang mantapuntuk bersaing bersama-sama pasukan lain dalam Liga Malaysia," katanya. Katanya setakat ini, kes tersebut belum dibincangkan secara teliti, namun pihaknya akan mengambil pandangan ketua jurulatih Kelantan, Emilov Velizar Popov mengenai perkara berkenaan. Ismail mengulas saranan beberapa bekas pemain Kelantan yang dilaporkan akhbar tempatan pada Selasa, supaya Kafa mendenda mana-mana pemain yang didapat isengaja melanggar disiplin sehingga mencemarkan nama pasukan. Isu itu timbul ketika perlawanan di Stadium Shah Alam minggu lepas, apabila Kelantan terpaksa beraksi dengan baki perlawanan hampir 70 minit dengan kekurangan seorang pemain setelah Wan Zack Haikal Wan Nor dibuang padang pad apertengahan babak pertama. Kelantan sekali lagi terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika bertemu Selangor setelah Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dilayangkan kad merah dalam aksi Liga Super di Kota Baharu, Sabtu lepas. -Bernama