CRISTIANO Ronaldo telah menolak kebimbangan mengenai tahap kecergasannya menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara antara Real Madrid dan Atletico Madrid Sabtu ini. Pemenang Ballon d'Or sebanyak tiga kali ini terpaksa meninggalkan sesi latihan Real pada Selasa, yang merupakan sebahagian daripada hari terbuka media, selepas berebut bola dengan penjaga gol simpanan Kiko Casilla dan akhirnya terjatuh. Beberapa kakitangan perubatan Real Madrid telah membantunya dan pemain kebangsaan Portugal masih mampu berjalan keluar ke padang tanpa bantuan walaupun terhencot-hencot. Ronaldo meninggalkan sesi dengan latihan masih berjalan dan dilihat mencampakkan botol air dengan marah sambil menuju ke bilik persalinan. Tetapi selepas sesi latihan, Ronaldo menegaskan bahawa kakinya hanya mengalami kecederaan 'dead leg' (otot dan tulang mengalami tekanan menyebabkan kesukaran untuk berjalan). "Saya dalam keadaan baik. Saya mempunyai sedikit masalah dalam latihan, 'dead leg' sebagaimana yang mereka katakan di sini, tetapi esok atau lusa keadaan saya akan baik. Ia adalah kebimbangan kecil," katanya. Ronaldo sedang menjalani latihan bermula hari Sabtu menjelang perlawanan hujung minggu ini dengan pesaing bandar mereka, Atletico di San Siro di Milan. Jurulatih Zinedine Zidane sebelum ini berkata Ronaldo cergas untuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara, walaupun mengalami masalah paha. Begitu juga Ronaldo yang menganggap dirinya lebih baik berbanding sebelum perlawanan final dua tahun lalu di mana Real menewaskan Atletico 4-1 di Lisbon. "Saya percaya keadaan saya kini lebih baik," katanya. "Saya mempunyai sedikit masalah tetapi ia adalah normal kerana saya telah menjadi pemain yang paling banyak diturunkan dalam pasukan. "Saya rasa ini adalah musim di mana saya telah bermain hampir setiap minit. Selain masalah sesi latihan hari ini, saya percaya saya pada tahap terbaik."