suria

Ada Rundingan Tapi Belum Dimuktamadkan - Bojan

Bojan Hodak

PETALING JAYA: Bekas ketua jurulatih Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) Bojan Hodak mengakui mengadakan  perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mengenai tawaran untuk berkhidmat bersama pasukan tersebut.

Namun pengendali yang berasal dari Croatia itu menegaskan tawaran tersebut masih belum dimuktamadkan.

"Ya memang ada perbincangan pada kelmarin (Isnin) dan semalam (Selasa) dan juga hari ini tapi saya belum tandatangan apa-apa," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Diminta mengulas mengenai tawaran itu, Bojan menegaskan beliau enggan memberikan sebarang komen kerana belum menandatangani sebarang kontrak dengan FAP.

Malah beliau turut enggan mendedahkan jawatan yang ditawarkan FAP kepada dirinya.

"Kita tunggu sidang media pada hari ini (Rabu) dan lihat apa yang akan berlaku nanti," katanya.

Sebelum ini, FAP dilaporkan bakal mengumumkan pelantikan Bojan sebagai ketua pengawai eksekutif (CEO) manakala bekas jurulatih JDT II Nenad Bacina sebagai pengurus baharu pasukan Harimau Kumbang itu pada petang Rabu.

Menurut sumber terdekat pasukan itu, langkah tersebut dikatakan cubaan terakhir untuk menyelamatkan Pulau Pinang dalam saingan Liga Super selepas tersingkir dalam kempen Piala Malaysia apabila menduduki tangga tercorot liga.

Pulau Pinang hanya mencatat satu kemenangan, empat seri dan tujuh kekalahan dalam 12 perlawanan liga.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai Bojan dan Nenad serta perjanjian mereka bersama FAP.

FAP dijadual mengadakan sidang akhbar di pejabatnya pada 4 petang Rabu, selepas menangguhnya pada Isnin lepas.

Bojan yang berasal dari Croatia bukan asing dalam arena bola sepak tanahair apabila ketika menjadi ketua jurulatih Kelantan berjaya membawa pasukan itu memenangi Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia pada 2012.

Artikel Lain