LONDON: Kelab bola sepak terbesar Inggeris dilihat hampir pasti mendapatkan khidmat Jose Mourinho sebagai pengurus, apabila dia telah bersetuju dengan terma peribadi dengan Manchester United pada Selasa, laporan Sky TV. Selepas menjulang trofi bersama Portugal, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid, Mourinho bakal menggantikan pengurus dari Belanda Louis van Gaal yang dipecat pada Isnin, dengan harapan dia dapat membawa kembali zaman kegemilangan kelab itu di bawah Alex Ferguson. Lelaki berusia 53 tahun itu yang dipecat oleh Chelsea pada Disember lalu, tujuh bulan selepas memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris ketiganya di kelab London itu sentiasa dikaitkan dengan jawatan di United apabila Van Gaal bergelut untuk menunjukkan prestasi memberangsangkan di Old Trafford. Pengurus dari Belanda itu disingkirkan dua hari selepas membawa United menjulang Piala FA pertama mereka dalam tempoh 12 tahun apabila menewaskan Crystal Palace 2-1 selepas masa tambahan dalam perlawanan akhir di Wembley, Sabtu. Sky Sports News HQ menulis bahawa pihaknya difahamkan bahawa peguam untuk kedua-dua pihak masih dalam rundingan berhubung beberapa isu-isu berkaitan hak imej, yang mesti diselesaikan sebelum kontrak ditandatangani. United dan Mourinho kedua-duanya terikat dengan banyak perkongsian komersial, dan mesti memberikan pertimbangan yang teliti kepada komitmen sedia ada kepada penaja masing-masing apabila Mourinho menjadi pengurus United. Antara yang dibincangkan adalah mengenai penajaan dan kontrak kerjasama bersama Adidas, Jaguar dan Chevrolet. Difahamkan tempoh kontrak Mourinho dan gajinya kini telah dipersetujui selepas perbincangan positif antara naib pengerusi eksekutif United , Ed Woodward, dan ejen Mourinho, Jorge Mendes. Mendes, Woodward, dan pasukan undang-undang kedua-dua pihak terus berunding tentang bagaimana mereka dapat membuatkan penaja masing-masing terus gembira dan perbincangan akan diteruskan pada Rabu. Mencari penyelesaian kepada isu-isu ini dikatakan menjadi halangan terakhir yang perlu diatasi sebelum Mourinho secara rasmi disahkan sebagai pengurus United yang seterusnya.