JOSE Mourinho dijangka menghangatkan lagi berita pelantikan beliau sebagai pengurus Manchester United dengan mengumumkan kehadiran penyerang baru pada minggu ini. Dailymail melaporkan, selain melanjutkan kontrak pemain mudanya, Marcus Rashford, United bakal mengumumkan berita baik mengenai kehadiran penyerang bertaraf bintang. Ketua Eksekutif United, Ed Woodward didakwa berada di Milan pada Sabtu untuk menonton perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah selain bertemu ejen pemain Real Madrid dan Atletico Madrid. United dilapor mahu mendapatkan penyerang Real, Karim Benzema dan Saul Niguez dari Atletico. Selain itu, Mourinho juga mahu mendapatkan Pierre-Emerick Aubameyang yang merupakan penyerang Borussia Dortmund. Antara yang didakwa hampir pasti menyertai United pula ialah Zlatan Ibrahimovic apabila rundingan mengenai gaji berjumlah £220,000 seminggu sedang dilakukan dengan ejen pemain berusia 34 tahun itu.