suria

Rashford Setuju Kekal Lebih Lama Di Old Trafford

Marcus Rashford.

BINTANG muda Manchester United Marcus Rashford menandatangani kontrak baharu untuk tempoh jangka masa panjang di Old Trafford, lapor Telegraph Sport.

Penyerang berusia 18 tahun itu dianggap sebagai bintang yang akan menyinar bersama skuad England apabila menjaringkan gol dalam perlawanan sulungnya ketika menentang Australia.

Ia membolehkan Rashford mengatasi rekod selama 78 tahun yang dicipta Tommy Lawton dan menjadi pemain termuda England yang menjaringkan gol untuk pasukan itu.

Namun maklumat terperinci kontrak Rashford masih belum jelas tetapi difaham beliau bersetuju untuk kekal bersama United sekurang-kurang dalam tempoh empat tahun lagi.

Susulan itu gaji Rashford akan dinaikkan kira-kira 20,000 pound seminggu tetapi bonus penampilan dan aksi yang konsisten mungkin membolehkannya memperolehi pendapatan lebih tinggi.

Kontrak Rashford masih berbaki selama setahun dan United berhasrat untuk mengekalkannya bersama skuad utama pasukan itu.

Rashford mencuri tumpuan selepas menjaringkan dua gol untuk United ketika menundukkan FC Midtjylland 5-1 pada aksi Liga Europa, Februari lalu.

Malah, beliau juga menjaringkan gol pada penampilan pertamanya pada saingan Liga Perdana Inggeris - dua gol ketika menewaskan Arsenal dan menjaringkan gol tunggal pada aksi menentang Manchester City.

Artikel Lain