KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mendapat laluan mudah untuk mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia selepas lawannya, Wang Zhengming menarik diri di set kedua suku akhir pada Jumaat. Dalam perlawanan di Istora Senayan itu, Chong Wei yang kini berada di ranking kedua dunia menang 21-16 pada set pertama sebelum pemain China itu berhenti pada mata 9-2. Chong Wei dijadualkan akan bertemu pemain tuan tumah, Ihsan Maulana Mustofa iaitu pemain yang berada di ranking ke-29 dunia, pada saingan separuh akhir, Sabtu. Peluang Chong Wei untuk merebut gelaran juara buat kali keenam kejuaraan itu sekali gus merampas takhta nombor satu dunia milik Chen Long lebih mudah apabila pemain China itu menarik diri dari kejohanan sama dan musuh tradisinya, Lin Dan tewas di pusingan kedua. Pada masa ini, Chong Wei mengumpul 88,953 mata, hanya ketinggalan 3,241 mata di belakang Chen Long, dan jika beliau muncul juara Terbuka Indonesia 2016, Chong Wei akan memperoleh 11,000 mata, sekali gus meletakkan beliau di ranking teratas dunia sebelum Sukan Olimpik Rio bermula. Selain Chong Wei, beregu wanita Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei juga menunjukkan prestasi memberansangkan apabila menang ke atas pemain tuan rumah, Anggia Shitta Awanda/Ni Ketut Mahadewi Istirani untuk mara ke separuh akhir. Hoo/Woon yang menundukkan pasangan Indonesia dengan catatan 21-14, 21-19 itu akan bertemu pilihan ketiga kejohanan, Tang Yuanting/Yu Yang dari China. Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan China, Chai Biao/Hong Wei 18-21, 17-21. - BERNAMA