NEW DELHI: Apabila tibanya Ramadan, Imran Tahir akan mula mengimbangi tuntutan agama sebagai seorang muslim dan kerjayanya sebagai pemain kriket profesional bertaraf antarabangsa. "Saya tidak fikir ia adalah sukar untuk mengimbangi antara kerjaya sukan profesional dan tahap iman anda. "Ia akan menjadi sangat mudah jika anda ikut jalan yang benar," tegas leg-spinner Afrika Selatan itu dalam temu bual dengan AFP. Sebagai salah seorang spinner terkenal dunia, Imran yang dilahirkan di Pakistan telah bermain sebanyak lebih daripada 100 perlawanan untuk Proteas sejak membuat debut antarabangsa pada tahun 2011. Beliau menjadi warganegara Afrika Selatan melalui perkahwinan. Ketika bersama pasukan asalnya dari Pakistan, beliau dan pasukan itu kerap berdoa bersama-sama di atas padang semasa perlawanan antarabangsa. Imran adalah salah seorang daripada lima penganut Islam yang telah dipilih untuk menyertai skuad Afrika Selatan dalam siri ODI tiga negara dengan Hindia Barat dan Australia di Caribbean yang bermula pada Jumaat dan berlangsung sehingga 26 Jun.