BARCELONA: Pelumba Moto2 dari Sepanyol, Luis Salom meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan semasa sesi latihan bebas pada Grand Prix Catalunya. Perkara itu disahkan penganjur kejohanan perlumbaan dunia itu, MotoGP menerusi satu kenyataan pada Jumaat. "Berikutan insiden semasa latihan bebas kedua kategori Moto2 di Litar Catalunya, ia adalah satu berita sedih untuk melaporkan pemergian Luis Salom (Pasukan SAG)," kata MotoGP dalam satu kenyataan. Salom, 24, dikejarkan ke hospital selepas terlibat dalam kemalangan untuk menjalani pembedahan. "Walaupun usaha terbaik dilakukan oleh pasukan trauma, dia disahkan meninggal dunia pada pukul 4.55 petang waktu tempatan," demikian menurut kenyataan itu.