suria

Dr Carneiro, Mourinho Setuju Selesai Kes Luar Mahkamah

Dr Eva Carneiro.

BEKAS doktor Chelsea, Eva Carneiro bersetuju menyelesaikan kes tuntutan terhadap pemecatannya dari Stamford Bridge menerusi perjanjian sulit.

Dr Carneiro juga mencapai penyelesaian dakwaan diskriminasi terhadap bekas pengurus kelab itu, Jose Mourinho.

Chelsea turut menyatakan permohonan maaf tanpa syarat kepada bekas doktor skuad utama pasukan itu di atas kesulitan yang timbul.

Pada Isnin, Chelsea dilaporkan menawarkan Dr Carneiro wang sebanyak 1.2 juta pound bagi menyelesaikan bayaran pampasan terhadap pemecatan beliau.

Namun bayaran pampasan itu telah ditolak oleh Dr Carneiro.

Dalam satu kenyataan, Dr Carneiro berkata:"Saya berasa lega kerana kes itu berjaya diselesaikan. Ia tempoh yang sukar dan menyedihkan buat saya dan juga keluarga tetapi kini saya ingin memandangkan ke hadapan.

"Kesihatan dan keselamatan pemain menjadi keutamaan dan saya memenuhi kewajipan sebagai seorang doktor," katanya.

Isu panas ini bermula selepas Mourinho bertelagah dengan Dr Carneiro di garisan permainan pada babak akhir perlawanan pembukaan The Blues musim lalu berdepan Swansea.

Mourinho melabelkan Dr Carneiro dan ketua fisioterapi Jon Fearn "bertindak tanpa berfikir dan kurang pengalaman" selepas mereka bergegas untuk merawat Eden Hazard apabila Chelsea kekurangan seorang pemain.

Timbul dakwaan Mourinho menggunakan perkataan kesat terhadap Dr Carneiro.

Namun Persatuan Bola Sepak England (FA), menyatakan mereka "berpuas hati bahawa perkataan yang digunakan tidak menyalahi peraturan bahasa dalam Undang-Undang FA selepas menganalisis rakaman audio insiden berkenaan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain