suria

Sepanyol Kecundang Di Tangan Georgia

JUARA bertahan Euro, Sepanyol tewas mengejut 0-1 di tangan Georgia pada aksi pemanas badan terakhir menjelang kejohanan Euro 2016 yang akan membuka tirainya pada Jumaat ini.

Kesilapan Jordi Alba membuka peluang kepada pemain tengah Georgia, Tornike Okriashvili untuk memecah kebuntuan dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-40.

Pengurus Sepanyol, Vicente del Bosque mempunyai barisan pemain Real Madrid dan Atletico Madrid yang lengkap buat pertama kalinya sejak aksi final Liga Juara-Juara bulan lalu.

Namun pasukannya yang tidak pernah tewas sejak Mac 2015 kurang kreativiti untuk menundukkan pasukan yang menduduki ranking ke-137 dunia itu.

Sepanyol kini sedang mengintai kejuaraan buat kali ketiga menjelang sepak mula kempen Euro 2016 yang akan berlangsung di Perancis.

Pasukan itu akan bertemu Republik Czech di Toulouse pada Isnin sebelum menentang Crotia dan Turki dalam aksi peringkat kumpulan.

Barisan pemain:

Sepanyol: De Gea; Juanfran (Bellerin 45), Pique, Ramos (San Jose 46), Alba; Busquets (Pedro 76); Vazquez (Silva 61), Cesc, Thiago, Nolito; Aduriz

Georgia: Revishvili (Kvaskhvadze 55); Lobzhanidze, Kverkvelia, Amisulashvili, Navalovski (Kobakhidze 84); Aburjania (Tsiskaridze 78), Kashla; Jighauri, Okriashvili, Dvalishvili (Chanturia 72); Qazaishvili (Kvilitaia 72)

Sepanyol, Euro 2015, Georgia

Artikel Lain