PEMAIN pertahanan Villarreal Eric Bailly sah menjadi pemain pertama dibawa masuk Jose Mourinho ke Manchester United selepas lulus ujian pemeriksaan kesihatan dengan kelab tersebut. Pemain yang berusia 22 tahun itu merekodkan 40 penampilan sepanjang kariernya mengikat kontrak empat tahun bersama United dengan bayaran perpindahan dianggarkan bernilai 30 juta pound (RM176 juta). "Impian menjadi kenyataan dengan menyertai Manchester United. Apa yang saya mahukan hanyalah ingin bermain bola sepak di peringkat tertinggi. "Saya ingin menunjukkan prestasi terbaik dan percaya bekerja di bawah Jose Mourinho akan membantu peningkatan dengan cara yang betul bersama kelab ini. "Saya tidak sabar untuk bertemu dengan rakan-rakan sepasukan dan memulakan bab baharu dalam hidup saya," jelasnya di laman rasmi kelab. Bailly memakai jersi latihan terbaharu United sebaik sahaja selesai menandatangani kontrak empat tahun bersama kelab. Pemain kebangsaan Ivory Coast itu melakukan 25 penampilan bersama Villarreal pada aksi La Liga musim lalu selepas menyertai kelab tersebut pada Januari 2015. Bailly turut menjadi buruan seteru jiran United, Manchester City selain Barcelona dan juga Paris Saint Germain (PSG). Sementara itu, pengurus Portugis yang baharu memimpin United berkata: "Eric merupakan pemain pertahanan muda yang mempunyai bakat semula jadi. Dia menunjukkan peningkatan yang baik dan mempunyai potensi untuk menjadi salah seorang yang terbaik. "Kami bersedia untuk bekerjasama dengannya dan membantu mengembangkan lagi bakat serta menggunakan potensi yang ada. "Eric berada di kelab yang betul untuk terus meningkat." Pemain pertahanan tengah itu dikatakan mempunyai bakat luar biasa dan bekas jurulatihnya di Espanyol, Manolo Marquez memberitahu: "Saya sangat yakin dia akan berjaya di England. "Dia ada persamaan dengan Sergio Ramos walaupun masih belum mempunyai teknikal yang baik, tetapi dia lebih kuat. "Mourinho akan memberi kelebihan kepada Eric kerana dia sentiasa mempunyai susunan yang baik di bahagian pertahanan," kata Marquez. Sebagai rekod, Bailly mula menjadi pemain tetap negaranya, Ivory Coast ketika kempen Piala Negara-Negara Afrika 2015 selepas dua kali mempamerkan aksi pada perlawanan persahabatan. Manakala Villarreal terus mengikat Bailly dari Espanyol selepas pemain itu hanya tampil lima aksi di pentas La Liga.