suria

Popov Setuju Ikat Pemain Import Brazil Bitencourt

Annuar bersama jurulatih Kelantan, Popov (kanan).

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) telah menandatangani kontrak bersama pemain import dari Brazil, Wander Luiz Bitencourt, bagi menggantikan pemain import pasukan itu yang ditamatkan kontrak pada pertengahan musim ini.

Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata Ketua Jurulatih Kelantan Velizar Emilov Popov bersetuju mengambil pemain berusia 29 tahun itu bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan.

"Dia (Popov) telah memilih untuk mengikat pemain tengah tersebut yang pernah beraksi dalam liga Thailand iaitu Wander Luiz Bitencourt...tahun lalu kami cuba mengikat beliau namun tidak berjaya.

"Saya harap pemain itu dan Blazhe Ilijoski (seorang lagi pemain import Kelantan) dapat bergandingan dengan baik, Luiz sudah pun berada di Kota Baharu bagi menjalani latihan bersama pasukan," katanya menerusi entri facebooknya hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kafa Datuk Ismail Md Noor turut mengesahkan pemain tersebut menjadi milik pasukan Kelantan selepas menandatangani kontrak dengan persatuan itu hari ini.

"Kami (Kafa) memberi kebebasan kepada Popov bagi mencari pemain import yang berkualiti dan akhirnya beliau bersetuju mendapatkan pemain berkenaan.

"Keputusan itu telah mendapat persetujuan daripada beliau (Popov). Saya berharap kehadiran pemain itu dapat memperkasakan lagi pasukan," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Dua pemain import Kelantan iaitu Jonatan Lucca dan Dramane Traore ditamatkan kontrak oleh Kafa berikutan prestasi kedua-dua pemain berkenaan tidak konsisten dan tidak memuaskan pihak pengurusan Kafa. -Bernama

Wander Luiz Bitencourt, Kafa

Artikel Lain