suria

Kriket Sasar Tiga Pingat Emas Sukan SEA 2017

Pasukan kriket negara bergambar bersama pada majlis berbuka puasa di Persatuan Kriket Malaysia di Bandar Kinrara pada Jumaat. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Persatuan Kriket Malaysia (MCA) yakin pasukan negara mampu merebut tiga pingat emas dalam ketiga-tiga acara yang bakal dipertandingkan pada penganjuran Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, nanti.

Dua daripada sasaran pingat emas itu adalah daripada pasukan lelaki melalui kategori Format Satu Hari Antarabangsa (ODI) dan T20 manakala satu lagi pingat adalah membabitkan pasukan wanita dalam kategori T20. 

Setiausaha kehormat MCA, Mohammad Iqbal Ali Kassim Ali berkata pemain-pemain kriket negara sudah sedia maklum mengenai sasaran badan induk itu untuk membolot kesemua pingat emas acara kriket yang julung kalinya dipertandingkan di Sukan SEA.

"Kita sudah janjikan pingat emas kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan kita yakin bahawa pasukan negara akan bekerja keras untuk pastikan hasrat dan impian ini tercapai. 

"Setakat ini kita ada 45 pemain dalam kumpulan kebangsaan dan daripada jumlah ini kita akan kurangkan mengikut jumlah pemain yang dibenarkan oleh peraturan Sukan SEA iaitu lebih kurang 25 pemain.

"Dari segi persiapan pula walaupun sekarang bulan Ramadan tapi pemain kita telah mengikuti latihan berpusat yang memfokuskan latihan fizikal sahaja. Kami faham kami perlu membina momentum terutama dalam latihan fizikal," katanya pada Jumaat.  

Mengulas lanjut mengenai persediaan pasukan negara sebelum Sukan SEA bermula, Mohammad Iqbal Ali berkata selain menyediakan perlawanan persahabatan dengan pasukan luar negara, pihaknya juga bercadang memanggil pakar kriket untuk memberi kaunseling dan kejurulatihan kepada pasukan negara.

Mohammad Iqbal Ali berkata sebagai persediaan menghadapi Liga Dunia dan Sukan SEA, pasukan kriket lelaki akan mengadakan perlawanan menentang pasukan Pasukan Tentera Sri Lanka pada Julai dan bertemu pasukan 10 terbaik dunia, Zimbabwe Bawah-19, pada Ogos manakala pasukan wanita kebangsaan pula akan berdepan Akademik Kriket Zaheer Abbas dari Pakistan, juga pada Ogos ini. 

"MCA yakin dengan persediaan dari segi perlawanan, latihan serta bertanding di laman sendiri kita mampu menyapu kesemua pingat emas, ditambah pula dengan kedudukan Malaysia (pasukan lelaki) di tangga ke-23 dunia dan boleh dikatakan sebagai pasukan pilihan di Asia Tenggara," katanya. -Bernama

Kriket Malaysia, Emas, Sukan Sea

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain