suria

Dollah Puas Perlis Kutip Tiga Mata

KANGAR: Ketua Jurulatih Perlis, Dollah Salleh memuji semangat berpasukan yang ditunjukkan anak buahnya pada separuh masa kedua sehingga membolehkan mereka melakar kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, Jumaat malam.

Beliau berkata walaupun pada separuh masa pertama pemainnya beraksi agak hambar, namun pada separuh masa kedua pemainnya berjaya mengubah rentak perlawanan.

Persembahan yang ditampilkan oleh Perlis belum mencapai apa yang diharapkan namun sebaik separuh masa kedua bermula, semangat juang pemain yang tinggi dilihat berjaya mengubah rentak perlawanan, katanya.

Beliau turut memuji dua pemain pertahananannya, Damion Stewart dan Mohd Afif Amiruddin yang berusaha bermati-matian menggagalkan usaha Negeri Sembilan untuk mencipta jaringan.

Secara keseluruhan saya lihat persembahan pemain import baru seperti Charles Souza sudah mula menampakkan persefahaman dalam pasukan dan saya yakin beliau mampu beraksi lebih baik untuk perlawanan seterusnya.

Manakala Park Yong Jun pula, saya dapati dia agak bergelut dengan kecergasan kerana sudah lama tidak beraksi tetapi saya berpuas hati kerana dia mampu menghasilkan gerakan berbahaya dan dijangka dapat memantapkan lagi pasukan," katanya.

Perlis bakal bertemu Kuala Lumpur untuk perlawanan seterusnya di Stadium Selayang pada Jumaat (22 Julai) depan.

Saya teruja dengan kemenangan ini dan berharap anak buah saya dapat terus kekalkan momentum kemenangan pada perlawanan minggu hadapan, katanya.

Perlis

Artikel Lain