KUCHING: Atlet lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin sekadar memperbaharui rekod Sukan Malaysia (Sukma) selepas melakukan lemparan sejauh 55.16 meter di Stadium Sarawak pada Jumaat. Catatan wakil Negeri Sembilan itu bagaimanapun tidak mampu mencapai pencapaian peribadinya yang merupakan rekod kebangsaan, iaitu 59.29m yang dicapai pada Kejohanan Samorin Slovak Club, Slovakia pada bulan lalu. Rekod kejohanan terdahulunya ialah 54.26m yang dicatatkan di Perlis dua tahun lepas. "Saya sebenarnya tak berpuas hati dengan pencapaian hari ini, rekod ini pasti akan dipecah pada Sukma seterusnya oleh atlet lain. Ini kerana saya belum bersedia lagi untuk Sukma. "Bagaimanapun, saya berjanji akan berjuang berhabis-habisan untuk emas di Sukan Sea tahun depan apabila Malaysia menjadi tuan rumah," katanya. Pingat perak menjadi milik peserta tuan rumah, Abdul Rahman Lee yang berjaya melakukan lemparan sejauh 46.62m manakala seorang lagi wakil Negeri Sembilan Muhammad Afifi Najiy Ali membawa pulang gangsa dengan catatan 41.10m. Muhammad Irfan turut meraih gangsa dalam acara lontar peluru selepas melakukan lontaran sejauh 13.95m, walaupun ia bukan acara fokusnya. Emas menjadi milik R. Meveeqhen (14.19m) dari Perak manakala pingat perak dimenangi oleh Paul Kenneth Tay (14.02m) dari Sabah. -Bernama