PETALING JAYA: Jaguh terjun berpengalaman negara, Leong Mun Yee akur tidak tersenarai dalam kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro yang bakal berlangsung Ogos ini. Atlet kelahiran Perak berusia 31 tahun itu tidak dipilih untuk bersaing pada kejohanan terbesar dunia buat kali kelima buat dirinya biarpun mengakui berada dalam prestasi semasa yang terbaik. "Berdasarkan pengalaman saya menyertai empat kali aksi Sukan Olimpik sebelum ini, saya sedang berada di tahap terbaik tanpa menghadapi sebarang masalah kecederaan. "Namun nasib tidak menyebelahi saya untuk bertanding dan menyumbangkan pingat untuk negara kali ini. "Selepas meraih pingat gangsa dalam acara 10m Platform Berirama pada Kejohanan Terjun Siri Dunia Fina 2016 di Beijing dan Dubai baru-baru ini, saya telah meletakkan segala kesungguhan dan juga komitmen tinggi bagi setiap sesi latihan yang saya jalani bersama rakan sepasukan lain," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Jumaat. Aksi Mun Yee dan Pandelela pada Sukan Olimpik di London 2012. Menurut Mun Yee, tumpuan dan kegigihannya tidak pernah luntur walaupun ada laporan media yang menyatakan ketua jurulatih pasukan terjun tidak akan menyenaraikannya ke Brazil kerana kurang menjalani latihan bersama pasangannya, Pandelela Rinong. "Malah khabar angin yang menyatakan saya tidak konsisten dan tidak komited dalam menjalani latihan adalah tidak benar sama sekali kerana hampir setiap hari saya berlatih bersama pasukan di China dan Kuala Lumpur bagi persiapan ke Sukan Olimpik Rio 2016. "Tidak mungkin saya mampu untuk mencatatkan keputusan yang baik di Kejohanan Terjun Siri Dunia Fina 2016 yang lalu sekiranya saya tidak komited serta konsisten di dalam latihan dan setiap terjunan," tambahnya. Berikutan tidak tersenarai ke Rio, Mun Yee mengambil keputusan untuk bercuti dan berehat seketika sebelum kembali berlatih bagi persiapan ke kejohanan lain terutamanya Sukan Sea di Kuala Lumpur tahun hadapan. "Saya mengucapkan jutaan terima kasih buat peminat dan seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah jemu menyokong dan mendoakan saya selama ini. "Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada pihak Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) yang telah membantu dan menyokong saya sepanjang kerjaya saya sebagai atlet kebangsaan," tambah Mun Yee. Dalam masa sama, Mun Yee turut mendoakan agar kontinjen Malaysia dapat membawa pulang pingat emas Olimpik yang pertama untuk Malaysia kali ini walaupun tanpa kelibatnya.