KUCHING:"Saya tetap mahu pecahkan rekod kebangsaan 200 meter yang berusia 48 tahun itu," tekad Raja Pecut Sukma ke-18, Khairul Hafiz Jantan. Impian awal Khairul Hafiz memadamkan rekod 20.92 saat milik Tan Sri Dr M Jegathesan yang dilakukan di Sukan Olimpik Mexico 1968, tidak kesampaian apabila sekadar mencatat 21.03s di final acara itu di Stadium Sarawak pagi tadi, yang juga rekod baharu kejohanan. "InsyAllah, saya memang nak pecahkan rekod kebangsaan tetapi masanya tidak boleh dijangka bila. Jika terus ada saingan daripada Badrul (Hisyam Abdul Manap) dan Jonathan (Nyepa), selain peserta dari luar negara dalam kejohanan lain, saya harap dapat melakukan larian yang lebih pantas. Atlet berusia 18 tahun dari Melaka itu mengakui lonjakannya agak lambat di garisan permulaan, sedikit menjejaskan hasratnya memburu rekod kebangsaan yang terlalu lama bertahan itu. "Jadi selepas ini, saya perlu berikan tumpuan kepada aspek ini sewaktu latihan. Fokus utama selepas ini adalah untuk buat catatan di bawah 21 saat," katanya yang pernah mencatat 21.00s di Kejohanan Remaja Asia di Vietnam, bulan lepas. Khairul Hafiz meraih pingat emas acara 200m Sukma selepas memperbaharui rekod kejohanan dicatatkannya semalam iaitu 21.14s, yang mengatasi rekod terdahulu berusia 14 tahun milik Raja Pecut Sukan SEA 2003, Nazmizan Mohammed dari Terengganu dengan catatan 21.33s yang dibuat pada Sukma 2002 di Sabah. Beliau mengakui perubahan jadual acara akhir itu yang sering dijalankan pada sebelah petang ke sesi pagi, turut menyebabkan beliau tidak boleh mencapai sasaran peribadinya itu, selain cuaca yang panas terik. Atlet muda itu kini menjadi sebutan selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100m iaitu 10.30s yang berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dengan catatan baharu 10.18s, pada Rabu lepas. Sementara itu, Muhammad Aqil Yasmi mengejutkan pelari pilihan seperti Badrul Hisyam dari Melaka dan wakil tuan rumah, Jonathan Nyepa untuk meraih perak dengan catatan 21.31s. Jonathan pula terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas menamatkan larian dalam masa 21.34s, manakala Badrul Hisyam sekadar mampu mendapat tempat keempat dengan catatan 21.56s. "Ini merupakan acara pilihan bagi saya dan saya dapat buat yang terbaik berkat usaha dan doa ibu bapa dan jurulatih. Saya sebenarnya datang ke Sukma untuk memperbaiki catatan peribadi saya, dapat pingat itu merupakan rezeki. "Saya akan teruskan usaha dan latihan mengikut tunjuk ajar jurulatih selepas ini," kata Muhammad Aqil, 20, pelajar jurusan Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Turut berpuas hati dengan peningkatan pencapaian hari ini ialah Jonathan, yang berjaya memperbaiki catatan peribadinya daripada 21.54s yang dilakukan di pusingan separuh akhir, Khamis. Keempat-empat pelari pecut harapan negara ini dijangka bersaing sekali lagi di Kejohanan Terbuka Kebangsaan pada September ini. Dalam acara 200m wanita pula, Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri dari Perak turut memecahkan rekod kejohanan berusia 14 tahun dengan mencatatkan 24.31s, berbanding catatan 24.37s milik Petra Nabila Mustafa dari Negeri Sembilan. Rakan sepasukannya, Shereen Samson Vellabouy mengesahkan pingat perak selepas melintasi garisan penamat dalam masa 25.02s manakala gangsa menjadi milik Fathin Faqihah Mohd Yusuf dari Sabah yang mencatatkan 25.50s.-- Bernama