suria

Watson Nasihat Khairul Kekal Disiplin, Rendah Diri

Watson gembira rekod 18 tahun 100 meter berjaya dipecahkan Khairul Hafiz (kiri) di depan matanya.

KUCHING: Bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek mahu Khairul Hafiz Jantan mengekalkan disiplin di tahap tinggi dan sentiasa merendah diri, selain tidak tenggelam dengan 'dunia glamor' yang dikecapinya sekarang.

Sebaliknya, Watson, 40, yang pernah digelar 'The Flying Dayak' mahukan Raja Pecut Sukma ke-18 itu yang memecahkan rekod kebangsaan 100 meter miliknya, mengekalkan sikap untuk meneruskan rentak cemerlang.

"Beliau harus kekal dengan sikap begini, kekalkan disiplin dan rendah diri kerana bila-bila masa sahaja glamor itu boleh menjadi satu masalah kepadanya. 

"Saya sebenarnya rasa sangat gembira dan lega rekod itu telah dipecahkan didepan mata saya sendiri. Saya berpuas hati dengan lariannya kerana menjadi pelari pecut pertama melakukan 10.18 saat," katanya apabila ditemui di StadiumSarawak di sini, Jumaat.

Rabu lalu, Khairul Hafiz berjaya memecahkan rekod 100m milik Watson iaitu10.30s yang dicatatkan pada 1998, selepas menamatkan larian final di Sukma dalam masa 10.18s untuk meraih pingat emas.

Beliau kemudian memadam rekod kejohanan acara 200m berusia 14 tahun milik Nazmizan Mohammed dari Terengganu iaitu 21.33s yang dibuat pada Sukma 2002 di Sabah selepas mencatatkan 21.14s di separuh akhir acara itu Khamis, sebelum memperbaharuinya dengan masa 21.03s pada saingan akhir hari ini (Jumaat).

Menurut Watson lagi, Khairul Hafiz perlu mengekalkan pretasinya untuk mencapai lebih banyak kejayaan besar pada masa hadapan.

"Tahun hadapan ada Sukan Sea di Kuala Lumpur, dia harus buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa dia boleh buat yang lebih baik lagi. 

"Umur dia masih muda lagi, saya rasa dia boleh pergi lebih jauh. Dia juga perlu keluar dari Malaysia untuk menjalani latihan dan pertandingan di luar negara bagi meningkatkan lagi prestasinya," katanya. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain