KUALA LUMPUR: Seperti dijangka ratu squasy Malaysia, Datuk Nicol David mara ke peringkat akhir Pertandingan Squasy Wanita Jemputan Persatuan Raket Squasy (SRAM) 2016 di Pusat Squasy Kebangsaan, Bukit Jalil. Di pertandingan separuh akhir pada Sabtu, Nicol mengambil masa hanya 24 minit menumpaskan Omenya Abdul Kawy, Mesir 11-4, 11-4, 11-6. "Saya menunggu-nunggu untuk pertandingan peringkat akhir esok, dan saya cukup gembira dengan prestasi saya sekarang," katanya. Nicol kini di ranking ke-4, akan bermain menentang Joshna Chinappa, India,yang bertungkus lumus untuk mengalahkan Joelle King, New Zealand 8-11, 5-11,11-8, 11-4, 11-9 dalam 56 minit pada satu lagi perlawanan separuh akhir. -Bernama