suria

Komitmen Semua Pihak Jadikan Sukma Ke-18 Gemilang - Penganjur

Selangor muncul juara dengan memungut 59 emas. Foto: FAIHAN GHANI/The Star

KUCHING: Jawatankuasa pengelola Sukma XVIII (Sukma-18) amat berpuas hati dengan komitmen penuh semua pihak yang terlibat dalam setiap aspek penganjuran temasya dwi-tahunan itu, yang akan melabuhkan tirainya secara rasmi pada Ahad. 

Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata semuanya berjalan dengan lancar, daripada komitmen pegawai serta atlet kontinjen, sehingga petugas venue, trafik, media, ribuan penjawat awam, jabatan-jabatan kerajaan, 1,400 sukarelawan, malah sokongan para peminat sukan tempatan, dilihat memberikan kerjasama amat baik. 

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak berkata bandaraya Kuching bertambah meriah sepanjang penganjuran Sukma ini, yang menyaksikan semua hotel yang dianggarnya menawarkan sekitar lebih 4,000 bilik di bandaraya Kuching habis ditempah, dan ia masih belum mengambil kira tempahan homestay. 

Katanya para peminat sukan memberikan sokongan padu dalam setiap acara, dan dalam pemerhatiannya kebanyakan venue sukan penuh dengan peminat sukan tempatan memberi sokongan padu kepada atlet, namun menurutnya "nasib tidak menyebelahi kontinjen Sarawak".

"Di kebanyakan acara, kekalahan Sarawak amat tipis sekali, namun kedudukan naib juara boleh dikira sebagai perkembangan baik berbanding kedudukan tempat keempat di Sukma lepas di Perlis. 

"Saya yakin Sarawak boleh muncul juara pada Sukma akan datang di Perak nanti," katanya dalam satu persidangan media di Pusat Media Sukma ke-18 di Pusat Akuatik di sini lewat petang Sabtu.

Ada beberapa acara lagi dijadualkan berlangsung Sabtu malam, namun ia tidak membabitkan pingat buat dua kontinjen yang menerajui carta pungutan pingat sehingga kini, yang menyaksikan Selangor muncul juara memungut 59 emas, 73 perak, dan 63 gangsa, diikuti tuan rumah Sarawak, naib juara, yang memungut 57 pingat emas 43 perak dan 59 gangsa, dan Terengganu 46, 41, 44. 

Mohamad Morshidi berkata malam esok akan menyaksikan upacara majlis penutupan rasmi Sukma ke-18 di Stadium Sarawak, yang akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Beliau yang menjanjikan upacara majlis penutup yang hebat lagi gemilang, sama seperti majlis perasmian berkata, dua acara itu dilihatnya amat penting dalam melonjakkan semangat juang atlet dan juga orang ramai, untuk terus membara. 

Menurutnya pada malam itu juga akan dibuat pengumuman kontinjen terbaik, atlet terbaik lelaki, terbaik wanita, dan juga penyerahan bendera Sukma kepada wakil Perak, tuan rumah Sukma 2018.-Bernama

Sukma Sarawak, Gemilang

Artikel Berikut

Artikel Lain