RIO DE JANEIRO: Atlet Malaysia dalam mood ceria di Perkampungan Sukan walaupun sebahagian daripada mereka tiba lebih awal di sini berbanding atlet lain sebelum pertandingan sebenar mereka bermula di Sukan Olimpik Rio di sini. Atlet paling lama berada di sini, pelayar Khairulnizam Mohd Afendy yang tiba pada 12 Julai manakala pelayar wanita pertama yang mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik, Nur Shazrin Mohd Latif tiba pada 24 Julai. Acara pelayaran bermula pada 14 Ogos. Dua pelumba negara, Mohd Azizulhasni Awang dan pelumba wanita Fatehah Mustapa hanya tiba di sini hari ini selepas sebulan menjalani latihan di Portugal. Walaupun dihimpit keletihan terutama apabila mengenangkan jangkaan terkeluar awal, 32 atlet Malaysia hadapi cabaran itu dengan semangat juang yang tinggi. Khairulnizam, yang membuat kemunculan kedua di Sukan Olimpik selepas edisi London pada 2012, apabila ditanya apakah perasaannya menjalani latihan dan berjauhan dari keluarga bagi tempoh yang panjang, hanya melemparkan senyuman lebar."Untuk menjadi juara, anda harus lakukan pengorbanan," katanya. Khairulnizam berkata keselesaan di rumah, bersama teman-teman dan keluarga adalah sesuatu yang amat didambakan ketika berada di perantauan bagi tempoh yang lama. "Saya tidak boleh nafikan saya amat rindukan masakan ibu dan juadah Malaysia...ia tidak dapat diperoleh di sini," katanya. Walaupun ketika menyertai kejohanan antarabangsa dan Olimpik, anda mempunyai pelbagai pilihan juadah, tetapi anda tidak berpeluang menikmati teh tarik atau nasi lemak seperti di Malaysia," kata pelayar berusia 23 tahun itu yang bertuah kerana bapanya, Mohd Afendy Abdullah merupakan jurulatih pasukan tersebut di sini. Sebaliknya, Chef-de Mission, Tan Sri Muhammad Al Amin Abdul Majid berkata walaupun semangat atlet berkobar-kobar tetapi mereka rindukan juadah rutin di Malaysia. "Kami tidak boleh bawa tukang masak ke sini kerana ini adalah Sukan Olimpik," katanya. Datang awal ke Rio, katanya adalah keputusan bijak bagi membolehkan atlet hilangkan masalah lamban jet dan sesuaikan diri dengan cuaca dan suasana venue. Beliau berkata, keakraban dalam kalangan atlet adalah terpuji dan suasana yang baik wujud di kem kerana atlet fokus dengan misi mereka untuk membawa kehormatan bagi negara. Al Amin berkata, atlet mempunyai saluran komunikasi mereka sendiri untuk berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan di tanah air dan cara itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan perasaan rindu mereka. "Mereka menghubungi orang tersayang melalui media sosial dan skype," katanya. Katanya Datuk Lee Chong Wei, ikon badminton negara, seperti abang kepada atlet yang lain kerana akan mewujudkan suasana ceria serta memberi mereka sokongan dan motivasi. "Semua atlet suka berada di samping Chong Wei, berjenaka dengannya dan merakamkan selfie dengannya dan pemain badminton itu memang seorang yang peramah dan sudi mendengar masalah mereka," katanya. -- Bernama