PETALING JAYA: Hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum Sukan Olimpik Rio melabuhkan tirainya, tetapi perjuangan Malaysia masih belum selesai dan harapan untuk meraih emas tidak pernah padam. Selepas Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri tidak berjaya menyumbangkan pingat dalam perlawanan akhir acara 10m platform individu wanita, negara masih mempunyai dua peluang untuk membawa pulang pingat emas. Dua perlawanan badminton utama akan berlangsung malam ini. Pada pukul 10.50 malam, beregu lelaki negara Tan Wee Kiong dan Goh V Shem akan berentap menentang beregu China, Fu Haifeng dan Zhang Nan, pasangan yang ditundukkan beregu Malaysia di pusingan awal. Jika Malaysia menang malam ini, ia akan menjadi pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan Malaysia di Olimpik, mengakhiri usaha sejak 1992 apabila sukan ini membuat kemunculan sulung. Pasangan adik-beradik Razif dan Jalani Sidek kemudiannya berjaya meraih pingat gangsa, satu-satunya pingat yang pernah dirangkul negara dalam Olimpik. Sejak itu, negara hanya mempunyai koleksi pingat perak satu gangsa tetapi masih tiada emas. Dua pingat perak disumbangkan oleh Datuk Lee Chong Wei, yang menduduki tempat kedua pada Olimpik tahun 2008 dan 2012. Beliau menyimpan harapan dapat melakukan lebih baik kali ini tetapi perlu terlebih dahulu menundukkan seorang pemain yang telah meranapkan impian emasnya di dua pertandingan final Olimpik sebelum ini. Pada pukul 7.30 malam ini, Chong Wei akan berdepan pemain dari China itu, Lin Dan pada separuh akhir perseorangan lelaki. Sukan ini bagaimanapun telah menyumbangkan pingat perak menerusi pasangan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang, walaupun gagal melepasi halangan akhir berdepan pasangan Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir dari Indonesia, tetapi telah menunjukkan semangat juang yang kental. Tidak kecewa dengan keputusan itu, rakyat Malaysia terus mengucapkan tahniah kepada kedua-dua mereka. "Tidak mengapa Malaysia! Kita masih mempunyai Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong," tulis @taenyy_ di Twitter. "Alhamdulillah dapat perak (untuk Chan-Goh). Tak sabar menunggu Tan Wee Kiong dan pasangannya," tulis @AnaAnnaryn, juga di Twitter. @Arsenalnism menulis tweet:"Menunggu lagu Negaraku dimainkan di Brazil...harap Tan Wee Kiong-Goh V Shem boleh melakukannya"! Ternyata, ramai yang teruja dengan perlawanan akhir melibatkan beregu negara dan melahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan memenangi emas pertama malam ini. "Saya dapat rasakannya, kita akan mendapat emas dalam acara beregu lelaki Goh V Shem dan Tan Wee Kiong," tulis @Ahhadan. Pada 9 Ogos, Pandelela dan Cheong Jun Hoong memenangi pingat perak dalam acara 10m platform seirama wanita, pingat perak Olimpik pertama dimenangi oleh atlet wanita Malaysia. Pada Selasa, Azizulhasni Awang menyumbangkan pingat Olimpik pertama negara dalam sukan berbasikal dengan memenangi gangsa dalam acara berbasikal keirin lelaki.