PELARI Great Britain, Mo Farah memenangi pingat emas keempat Sukan Olimpik apabila menjadi atlet lelaki kedua dalam sejarah mempertahankan gelaran juara acara 5,000 meter (m) dan 10,000m. Farah, 33, memenangi acara final 5,000m di Rio untuk melebarkan penguasaannya sebagai atlet trek Britain paling berjaya di Olimpik sepanjang zaman. Dia menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 13 minit 3.30 saat. "Mengulangi kejayaan di Rio amat menakjubkan. Saya sukar mempercayainya," kata Farah. Farah membantu Britain meraih pingat emas ke-27 di Rio dan pingat ke-65 secara keseluruhannya sekali gus menyamai jumlah kutipan pingat yang diraih di London pada 2012. Britain berjaya mengatasi rekod tersebut apabila pasukan wanitanya menyumbang pingat gangsa dalam acara 4x400m.