suria

Menang Pingat Perak, Tunang Wee Kiong Anggap Hadiah Perkahwinan

Chia Shileng tunang kepada Tan Wee Kiong.

SEPANG: Chia Shileng, tunang kepada beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong menyifatkan kejayaan pasangan hidupnya meraih pingat perak pada Sukan Olimpik, Rio sebagai hadiah awal perkahwinan mereka.

Pasangan tersebut akan melangsungkan perkahwinan pada Oktober ini selepas enam tahun bercinta.

"Saya amat gembira dengan pencapaian Wee Kiong di Rio. Walaupun tidak berjaya membawa pulang pingat emas, mara ke final dan menang pingat perak satu kejayaan luar biasa.

"Walaupun masih ada dua bulan lagi, kejayaan ini ibarat hadiah awal perkahwinan kami. Saya amat berbangga dengannya," kata Shileng ketika ditemui mStar Online di Kompleks Bunga Raya di sini, Rabu.

Goh V Shem dan Tan Wee Kiong

Ketika ditanya apa yang membuatkan Shileng tertarik dengan Wee Kiong, gadis berusia 28 tahun ini berkata pemenang pingat perak itu seorang lelaki yang berani dan bertanggungjawab.

"Saya memang minat dengan dia sejak kami sama-sama mewakili negeri (Johor). Dia tidak pernah berubah tetap sama macam dulu, sentiasa berani untuk mengejar impiannya," katanya.

Shileng turut aktif dalam sukan badminton dan pernah mewakili negeri Johor sehingga berusia 18 tahun.

Sementara itu, gadis berasal dari Johor Baru ini berkata beliau akan terus memberi sokongan kepada Wee Kiong dan berharap tunangnya itu akan meraih pingat emas di Olimpik Tokyo pada tahun 2020.

"Saya akan sentiasa menyokong kariernya. Saya yakin jika dia terus berusaha keras pingat emas akan menanti dia di Tokyo nanti," katanya.

Olimpik, Badminto, Pingat Perak

Artikel Lain