suria

Kontinjen Paralimpik Mampu Cipta Sejarah Tersendiri

Dr Khairi Zawi.

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara mampu menyumbang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik yang bermula di Rio de Janeiro, Brazil minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi berkata beliau tidak terkejut sekiranya skuad paralimpik menempa kejayaan paling gemilang di temasya yang berlangsung dari 7 hingga 18 September ini.

Keyakinan Khairi itu adalah berdasarkan keupayaan dan persediaan kontinjen negara menghadapi temasya tersebut.

"Secara peribadi, saya melihat atlet paralimpik kita sangat teruja, bersemangat dan tenang untuk beraksi di Rio. Tiada rasa gentar kelihatan di raut wajah mereka.

"Kebanyakan atlet yang diletakkan sasaran berada di kedudukan terbaik dunia dan ada antara mereka hampir menyamai rekod atlet normal," katanya ketika ditemui Bernama, di sini Selasa.

Khairi berkata sasaran pingat semakin meluas apabila ia tidak hanya diletakkan kepada pelari pecut negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Sebaliknya, sasaran turut disandarkan kepada Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh selepas beliau meraih pingat emas di Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar.

"Rekod peribadi yang dibuat Latif iaitu 7.46 meter, sudah hampir menyamai rekod atlet normal di Rio iaitu lebih kurang 8m. Jika Latif kekal konsisten dalam setiap lompatan, tidak mustahil dia akan balik dengan pingat emas," katanya.

Seramai 21 atlet negara akan menyertai temasya Sukan Paralimpik dalam lapan daripada 23 jenis sukan iaitu olahraga, berbasikal, powerlifting, memanah, ping-pong, pelayaran, tenis kerusi roda dan renang.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Paralimpik adalah pada edisi 1992 di Barcelona, Sepanyol, dengan meraih satu pingat perak menerusi acara powerlifting dan dua pingat gangsa, masing-masing daripada powerlifting dan olahraga.

Di London 2012 pula, kontinjen negara meraih masing-masing satu pingat perak dan gangsa dalam acara lontar peluru dan memanah recurve individu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan atlet paralimpik yang berjaya meraih pingat di Rio akan menerima elaun bulanan seumur hidup sebanyak RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa), iaitu sama dengan atlet normal di Sukan Olimpik. - BERNAMA

Sukan Paralimpik, ISN

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia