VENUS Williams mara ke pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat (AS) untuk tahun ketiga selepas menundukkan Julia Goerges dari Jerman, 6-2 6-3. Pemain berusia 36 tahun itu berjaya memperbaiki prestasinya sejak kebelakangan ini dan mara ke separuh akhir kejohanan Wimbledon selain mempamerkan persembahan agak baik di New York tahun ini. "Saya berasa bangga untuk berada di sini, masih bermain, masih memenangi perlawanan dan tidak sabar untuk beraksi di pusingan seterusnya," kata Venus. Venus yang kembali menduduki ranking keenam dunia masih belum melangkah ke pusingan separuh akhir di Flushing Meadows sejak 2010. Kali ini, sekiranya dia terus mengekalkan prestasi konsisten, Venus mungkin akan bertemu adiknya, Serena di peringkat separuh akhir.