KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berharap penaja utama pasukan bola sepak negeri itu, Vida Beauty Sdn Bhd dapat meneruskan penajaan seperti yang dipersetujui sebelum ini. Annuar berkata penajaan berkenaan adalah berdasarkan kontrak-kontrak tertentu yang telah dipersetujui termasuk tempoh masanya. "Kita sayang dengan Qu Puteh ini (merujuk kepada syarikat tersebut). Ia satu penaja yang unik dan tersendiri. Kita harap ia dapat menaja kita sampai tahun depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat. Sebelum ini, pemilik syarikat kosmetik berkenaan Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida dilaporkan tidak mahu meneruskan lagi penajaan ekoran prestasi skuad Kelantan yang tidak konsisten dalam saingan Liga Malaysia musim ini. Hasmiza juga mendakwa produk minuman dan jersi yang dikeluarkan syarikatnya tidak mendapat sambutan daripada para penyokong. Awal Januari lalu, Vida Beauty menandatangani kontrak penajaan bernilai RM16juta untuk menaja skuad The Red Warriors bagi tempoh dua musim.