suria

Terbuka Malaysia: Badrul Tewas Kepada Jonathan

Badrul Hisyam (kanan) terpaksa berpuas hati di tempat kedua pada saingan akhir 100 meter Terbuka Malaysia pada Jumaat.

KUALA LUMPUR:  Raja Pecut Sekolah Asean, Badrul Hisyam Abdul Manap sekali lagi dikecewakan jaguh Sarawak, Jonathan Nyepa yang muncul juara acara 100 meter Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, Jumaat.

Badrul Hisyam yang diharap bangkit daripada kekecewaan di Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak Julai lalu, sekadar menduduki tempat kedua dengan catatan 10.61 saat, menamatkan larian di belakang Jonathan yang mencatat 10.53s, akibat permulaan yang lambat di Stadium Universiti Malaya, di sini. 

Atlet berusia 19 tahun dari Melaka itu terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa Sukma walaupun mencatat masa yang sama dengan Jonathan iaitu 10.36s, selepas keputusan dibuat berdasarkan 'photo finish'.

"Saya tak puas hati dengan pencapaian saya kerana sasarkan untuk memperbaiki pencapaian peribadi (10.29s) tetapi oleh kerana permulaan lambat, ia menjadi rezeki Jonathan.  

"Esok saya akan cuba lagi dalam acara 200m, kali ini berdepan Khairul Hafiz Jantan," katanya kepada pemberita.

Bagi Jonathan, ia merupakan kejayaan yang tidak dijangka pada penampilan keduanya di Terbuka Malaysia kerana masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan kaki yang menghantuinya sejak Sukma lalu.

Gangsa pula menjadi milik Muhammad Haikal Hanafi dari Negeri Sembilan yangmenamatkan larian dalam masa 10.68s.

Sementara itu, dalam acara 100m wanita pula, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyapu bersih ketiga-tiga pingat yang ditawarkan.

Pelari kebangsaan, S. Komalam Shally meraih emas selepas mencatat 11.87s diikuti Siti Fatimah Mohamad yang mendapat perak dengan catatan 11.97s manakala Olimpian negara, Zaidatul Husniah Zulkifli terpaksa berpuas hati dengan gangsa (12.13s). 

"Saya sebenarnya tak gembira dengan pencapaian hari ini kerana tidak dapat menyamai catatan 11.70s di Kejohanan ATM awal bulan ini. Saya harap dapat kekalkan momentum itu sehingga layak ke Sukan SEA," kata Komalam.

Bagi acara lompat kijang wanita, atlet kebangsaan R. Kirthana yang mewakili Perak terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat 12.74m, ketinggalan 0.02m berbanding pemenang pingat emas Rochelle Maria (12.76m), dari India. 

Pingat gangsa turut menjadi milik Perak apabila Nurul Ashikin Abas melakukan lompatan sejauh 12.14m. Bagi acara lompat kijang lelaki pula, pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail yang dihantui kecederaan buku lali kiri, sekadar meraih tempatkelima dengan lompatan sejauh 14.23m.

"Sebelum ini saya rasa sudah pulih tetapi selepas dua lompatan saya dah mularasa sakit dan dua lagi lompatan tidak menjadi, kemudian saya ambil keputusan untuk tidak melakukan lompatan seterusnya. Saya harap ia boleh pulih sebelum Mactahun hadapan," katanya.

Emas acara itu menjadi milik peserta Kuwait, Alsobai Khaled yang mencatat lompatan 15.34m, manakala wakil ATM, Jonathan Larus (15.32m) dan Muhammad Nazri Mustafa (14.68m) dari Kedah masing-masing meraih perak dan gangsa. 

Satu-satunya rekod kejohanan hari ini dilakukan atlet lontar peluru lelaki dari Kuwait, Mohammad Meshari yang melakukan lontaran sejauh 19.54m berbanding rekod 18.44m yang dipegang Jaiveer Singh dari India pada edisi 2000 di Pulau Pinang.  -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain