ARSENE WENGER berang dengan persembahan anak buahnya ketika Arsenal 'menang nasib' 1-0 ke atas Burnley menerusi jaringan kontroversi pada minit-minit akhir perlawanan. Malah pengendali Arsenal itu mengakui pasukannya bernasib baik untuk mengutip tiga mata penuh dan berasa marah dengan taktik pemainnya mengambil sepakan sudut pendek ketika masa permainan hampir tamat. Namun Wenger meraikan jaringan pemain pertahanan, Laurent Koscielney yang jelas kelihatan terkena tangan susulan percubaan rakan sepasukannya, Alex Oxlade Chamberlain. "Saya berasa marah kerana pemain mengambil sepakan sudut pendek ketika masa tambahan. Kenapa tidak mengambil sepakan itu seperti biasa? "Kami bernasib baik kerana menang di minit-minit akhir perlawanan. "Saya tidak menonton semula jaringan gol itu dan tidak nampak bola terkena tangan jika dilihat dari tempat simpanan," katanya. Kemenangan itu melonjak The Gunners ke tangga ketiga liga, hanya dua mata di belakang pendahulu, Manchester City. Sementara itu, pengurus Burnley, Sean Dyche menyalahkan pengadil perlawanan, Craig Pawson kerana membenarkan gol tersebut. "Berdasarkan kiraan, masa tambahan berlanjutan lebih enam saat dan gol Arsenal pula terkena tangan," katanya.