KUALA LUMPUR: Jangan guna alasan penganjuran di penghujung musim sebagai punca tidak dapat mempamerkan aksi cemerlang di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang berakhir semalam. Ketua jurulatih negara Zainal Abas berkata atlet dan jurulatih tidak bolehmenggunakan alasan itu kerana tarikh kejohanan tersebut telah ditetapkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada akhir tahun lepas lagi. "Apabila kami merancang kalendar KOM tahun lalu, Sukan Sea dijangka diadakan pada September, tetapi tahun ini baharu diputuskan temasya itu akan diadakan pada Ogos (19-31). Oleh itu, ramai atlet dah mula masuk ke fasa persediaan ke Sukan Sea," katanya. Beliau berkata demikian apabila diminta menggulas mengenai alasan beberapa atlet yang berkata tarikh penganjuran yang lewat merupakan antara faktor mereka tidak boleh mencapai keputusan yang baik atau menyertai kejohanan itu. Kejohanan kali ini juga agak suram apabila tiada atlet negara yang memecahkan sebarang rekod kebangsaan mahupun rekod kejohanan sepanjang tiga hari kejohanan edisi ke-93 itu berlangsung. Zainal bagaimanapun menegaskan walaupun tiada rekod dipecahkan, beliau kagum dengan pencapaian beberapa atlet yang meningkat naik yang menunjukkan peningkatan dan semangat lawan yang tinggi. "Misalnya dalam acara heptatlon, Noorliyana Kamaruddin dari Angkatan TenteraMalaysia (ATM) berjaya mengutip 4,913 mata, yang mengatasi catatan pemenang pingat gangsa Sukan Sea Singapura tahun lalu. "Dia akan menjadi sebahagian daripada atlet yang kita kenal pasti untuk diserap ke dalam program Kita Juara. "Bagi acara 200 meter lelaki pula, kita menyaksikan persaingan sengit antaraempat pelari yang merebut tempat pertama, ia sesuatu yang sihat dan seharusnya menjadi perangsang kepada atlet lain. Atlet lompat bergalah, Chuah Yu Tian turut melakukan catatan terbaik iaitu 3.60m," katanya. Pada final acara 200m , Khairul Hafiz Jantan yang mewakili Melaka, meraih emas dengan catatan 21.10 saat, diikuti atlet ATM, G. Aravin Thevar (21.14s) dan Jonathan Nyepa (21.18s), masing-masing meraih pingat perak dan gangsa, manakala Badrul Hisyam Abdul Manap (21.24s) di tempat keempat. Turut mencuri tumpuan ialah Raymnd Yew dari Sabah yang melakukan catatan peribadi terbaiknya dengan masa 1:52.85s bagi acara 800m untuk memenangi pingat emas, berbanding 1:55.07s yang dicatatkan pada Sukan Malaysia (Sukma) untuk pingat gangsa. Keputusan itu juga menyaksikan beliau berjaya mengatasi pemenang pingat emas Sukma, Asif Rahman Jiyadeen dari Selangor dan atlet kebangsaan M. Kesavan yang masing-masing terpaksa akur dengan pingat perak dan gangsa, Sabtu lepas. Zainal berkata, pihaknya juga akan menilai prestasi 47 atlet program Kita Juara dengan membandingkan pencapaian tahun ini dengan prestasi tahun lalu serta keputusan pemenang pingat Sukan Sea lalu, bagi mendapatkan gambaran latihan dan peruntukan yang diperlukan untuk diletakkan sebagai prospek pingat emas. -Bernama