suria

Di Matteo Dipecat Selepas 123 Hari Urus Aston Villa

ASTON Villa memecat Roberto Di Matteo selepas 123 hari menguruskan kelab tersebut.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan Aston Villa yang kini di tempat ke-19 Liga Kejuaraan Inggeris biarpun telah menggunakan lebih kurang 50 juta pound (RM231) untuk membeli pemain baharu musim ini.

Di Matteo yang dilantik pada Jun lalu bagi membawa Aston Villa kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris selepas tersingkir musim lalu hanya mencatat satu kemenangan daripada 12 perlawanan setakat ini.

Malah pada Sabtu lalu, mereka turut tewas 2-0 kepada Preston yang seterusnya membawa kepada keputusan pemecatan Di Matteo.

"Aston Villa telah 'berpisah' dengan pengurus Roberto Di Matteo pada hari ini (Isnin).

"Kelab terpaksa mengambil tindakan ini berikutan keputusan amat mengecewakan yang menyaksikan pasukan berada di tangga ke-19 Liga Kejuaraan.

"Kami menghargai apa yang telah diusahakan Roberto dalam membangunkan semula skuad dan berharap dia lebih berjaya di masa hadapan".

Pembantu pengurus, Steve Clarke akan mengambil alih tugas itu sementara waktu biarpun Villa hanya akan beraksi 15 Oktober bertemu Wolves selepas tamat waktu rehat aksi antarabangsa.

Keputusan pecat Di Matteo menjadikannya sebagai pengurus yang paling singkat berada di Villa dalam sejarah kelab ini.

Dalam pada itu, Aston Villa teruskan pencariannya untuk mengisi kerusi pengurus tetap yang kelima bagi kelab ini sejak Februari 2014.

Sebagai rekod, bekas pengurus Chelsea itu telah mengikat sembilan pemain baharu musim ini termasuk Ross McCormack yang bernilai 12 juta pound (RM56 juta) dan Jonathan Kodjia 15 juta pound. 

Bagaimanapun kedua-dua penyerang itu hanya menjaringkan tiga gol musim ini malah McCormack gagal menjaringkan gol dalam aksi sepakan penalti bertemu Preston dua hari lalu.


Profil Di Matteo sebagai pengurus:

2008–2009 Milton Keynes Dons

2009–2011 West Bromwich Albion

2012- Chelsea

2014–2015 Schalke 04

2016 -Aston Villa

Roberto Di Matteo, Aston Villa

Artikel Lain