RAFAEL Nadal menamatkan musim 2016 lebih awal berikutan kecederaan pergelangan tangan yang dialaminya. Bintang Sepanyol itu terpaksa berehat hampir dua bulan selepas aksi Sukan Olimpik di Rio, namun belum cukup untuk memulihkan kesakitan di pergelangan tangannya. Penampilan di Brazil itu menyaksikan Nadal gagal dalam perebutan pingat gangsa dalam aksi perseorangan tetapi memenangi pingat emas acara beregu bersama Marc Lopez. Selepas tewas pusingan pertama acara Shanghai Masters minggu lalu dalam aksi pusingan pertama kepada Viktor Troicki, Nadal akhirnya mengambil keputusan berehat lebih awal. "Sebelum ini saya menyertai Sukan Olimpik dengan persiapan yang sederhana dan kecederaan belum pulih semuanya, tetapi sasaran emas dapat dicapai untuk Sepanyol. "Saya memaksa diri saya untuk terus bermain yang menyebabkan kecederaan lambat sembuh dan akhirnya keputusan berehat lebih awal diambil bagi memastikan persediaan musim depan lebih baik. "Tidak dinafikan saya agak kecewa kerana tidak dapat beraksi di Basle minggu kerana banyak kenangan manis yang dirakam musim lalu, lebih-lebih dapat mengalahkan Roger Federer," jelas pemain berusia 30 tahun itu. Nadal mula mengalami kesakitan di pergelangan tangannya bermula Mei lalu namun terus bermain sebelum terpaksa menarik diri pada pusingan ketiga Terbuka Perancis.