PASUKAN bola sepak Malaysia mendapat tonik tambahan menjelang Piala AFF Suzuki di Myanmar dengan menyarung kit terbaharu daripada pengeluar pakaian sukan terkemuka, Nike. Skuad Harimau Malaysia yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee ini bakal memakai set jersi terbaharu dengan rekaan berteknologi tinggi bagi memastikan aksi lebih pantas pemain-pemain negara. Lebih menarik, tahun ke-10 menjadi penaja skuad utama negara, Nike tampil dengan warna yang lebih garang bagi jersi 'home' iaitu warna hitam serta kuning. Manakala jersi 'away' berwarna putih digarisi dengan warna biru di bahagian dalam. Menurut Pengurus Pemasaran Nike Malaysia, Nino Primbodo, jersi terbaharu Dri-Fit berteknologi ini turut dilengkapi dengan peningkatan prestasi peredaran udara untuk mengawal suhu badan setiap pemain yang memakainya. "Ia juga mampu membantu pemain menjadi lebih pantas dan agresif ketika beraksi,"jelasnya pada majlis pelancaran kit terbaharu itu. Antara pemain yang hadir memperkenalkan kid terbaharu ini termasuk Baddrol Bakhtiar, Matt Davies, Nazirul Naim dan Zaquan Adha. Baddrol Bakhtiar yang juga kapten pasukan Malaysia mengakui jersi terbaharu ini lebih ringan, malah mempunyai ruang udara yang mampu melonjakkan prestasi seseorang pemain. "Rekaan yang lebih terperinci di jersi ini membantu atlet meningkatkan prestasi memandangkan ianya lebih ringan dan memberi kebebasan terhadap pergerakan," jelas Baddrol. Peminat bola sepak negara boleh mendapatkan kit eksklusif ini bermula 16 November di semua rangkaian butik Al-Ikhsan dengan harga RM289 sehelai. Sementara itu, skuad Harimau Malaysia bakal terbang ke Yangon pada Rabu bagi mengharungi saingan Kumpulan B bersama tuan rumah Myanmar, Vietnam dan Kemboja.