suria

Terbuka China: Pemain Perseorangan, Beregu Tumpas Di Pusingan Kelayakan

KUALA LUMPUR: Perjuangan pemain perseorangan negara, Kay Ee Yeoh dan pasangan beregu lelaki, Pak Chuu Chow-Ee Yeoh berakhir di pusingan kelayakan Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka China pada Selasa.

Ee Yeoh yang terlebih dahulu bergandingan bersama pasangannya, Chuu Chow terpaksa akur dengan kehebatan pasangan tuan rumah Lu Kai-Zheng Siwei apabila tumpas 8-21, 8-21 dalam masa 17 minit, demikian menurut laman web www.bwf.tournamentsoftware.com.

Mengharap tuah beraksi berseorangan, Ee Yeoh sekali lagi turun dalam acara perseorangan, namun gagal mencipta kemenangan setelah tewas kepada pemain Indonesia, Andre Marteen 21-17, 9-21, 12-21.

Beregu campuran utama negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, pula menanti pemenang perlawanan pusingan kelayakan antara pasangan Taiwan Wang Chi-Lin-Lee Chia Hsin dan gandingan China Zhang Nan-Li Yinhui pada pusingan pertama esok (Rabu).

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang merupakan juara bertahan, terpaksa menarik diri kerana belum pulih daripada kecederaan pangkal paha yang dialaminya ketika menyertai Siri Super Terbuka Perancis, bulan lepas. - BERNAMA

Terbuka China

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain